..:: Istilah-Istilah TASAUF 2 ( I - M )::..
Iliyyin: Sebahagian daripada syurga, di mana catatan amalan yang baik-baik ditempatkan. ilmu ahkam: Ilmu yang berhubung dengan hukum-hukum, dinamakan juga ilmu fikah. ilmu asrar: Ilmu yang berhubung dengan perkara-perkara ghaib dan seni, dinamakan juga ilmu tasauf. ilmu ghaib: Ilmu laduni. ilmu hakikat: Ilmu ketuhanan. ilmu laduni: Pengetahuan yang diperolehi bukan melalui proses pembelajaran. Pengetahuan tersebut boleh dibahagikan sebagai pengetahuan umum dan pengetahuan khusus. Pengetahuan umum adalah naluri semulajadi yang dibekalkan kepada sesuatu kejadian, misalnya manusia mempunyai pengetahuan laduni untuk membezakan kesakitan yang dirasai di dalam perut apakah ianya kesakitan kerana mahu membuang air besar ataupun kesakitan kerana sakit perut biasa. Bagitu juga dengan bayi yang dikurniakan pengetahuan laduni untuk menangis sebagai menceritakan keadaannya yang lapar atau sakit. Laduni yang khusus adalah pengetahuan mengenai ketuhanan secara rohani. Pengetahuan yang demikian dicampakkan ke dalam hati tanpa perlu belajar. Seseorang itu dengan tiba-tiba sahaja mengetahui sesuatu tentang Tuhan atau perkara ghaib. Pembelajaran seterusnya berperanan menambahkan atau memperjelaskan pengetahuan tersebut. Ilmu Mutlak: Ilmu Allah s.w.t. Ilmu Allah s.w.t adalah Ilmu secara keesaan. Tidak ada jarak, ruang dan masa dalam suasana Ilmu Tuhan. Tuhan mengetahui yang abadi tatkala Dia mengetahui yang azali. Tuhan mengetahui kematian seseorang hamba-Nya tatkala Dia mengetahui kelahirannya. Tuhan mengetahui bilangan ke sejuta tatkala Dia mengetahui bilangan yang pertama. Dia mengetahui yang akhir tatkala Dia mengetahui yang awal dan Dia mengetahui yang batin tatkala Dia mengetahui yang zahir. ilmu Rabbani: Seperti ilmu hakikat dan ilmu laduni, iaitu ilmu yang datangnya secara langsung daripada Allah s.w.t. ilmu tasauf: Satu aliran ilmu dan kefahaman agama yang menitik-beratkan soal hati, penyuciannya dan hubungannya dengan Tuhan. iman syuhudi: Keyakinan yang lahir daripada penyaksian mata hati. Insan Batin: Sama seperti Diri Batin. Insan kamil: Sama seperti Hakikat Insan Kamil. Insan Rahsia Allah s.w.t: Insan Batin atau Diri Batin yang berhubungan dengan Latifah Rabbaniah dan hal-hal ketuhanan dinamakan Insan Rahsia Allah s.w.t kerana hakikatnya tidak diketahui oleh makhluk, hanya Allah s.w.t yang mengetahuinya. Pengetahuan yang dikurniakan kepada makhluk mengenai perkara ini sangatlah sedikit. Insan Sirullah: Insan Rahsia Allah s.w.t. Iradat: Kehendak Allah s.w.t. Israk: Perjalanan Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan menunggang kenderaan alam ghaib yang dinamakan buraq. Dalam perjalanan tersebut Rasulullah s.a.w diperlihatkan seluruh bahagian alam dunia termasuklah bahagiannya yang ghaib dan tersembunyi. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke sebelas Nabi Muhammad s.a.w diutuskan menjadi rasul. istidraj: Kesenangan dan kemewahan yang mendatangi secara berterusan kepada orang yang mengingkari perintah Allah s.w.t, berbuat dosa dan maksiat. Kesenangan dan kemewahan yang demikian membuat manusia menjadi lalai dan bertambah kekufuran serta kefasikannya. Ketika mereka sedang asyik dengan kesenangan dan kemewahan tersebut Tuhan datangkan bala dengan tiba-tiba sehingga apa yang dimilikinya menjadi tidak bermanfaat kepadanya. Jadilah mereka orang yang berputus asa. istighfar: Permohonan kepada Allah s.w.t agar diampunkan dosa. istiqamah: Menetap dengan sesuatu amalan atau suasana. ittisal: Selepas suasana wusul sampailah kepada suasana ittisal, iaitu berhubungan dengan Allah s.w.t. Dalam suasana yang demikian nama tidak terlintas lagi dalam ingatan, yang ada hanyalah pandangan mata hati yang mengandungi kejeliraan, kemesraan dan kelazatan. (Sila lihat maksud wusul untuk memahami maksud ittisal).
Jabarut/Alam Jabarut: Istilah yang digunakan bagi menceritakan mengenai keadaan atau suasana sifat Tuhan sebagai penjana kepada segala bakat dan keupayaan yang dengannya makhluk diciptakan dan seterusnya menikmati kesinambungan kewujudan. jalan kenabian: Jalan yang menurut Sunah Rasulullah s.a.w yang telah diikuti oleh para sahabat. Orang yang berjalan pada jalan ini menetap dalam kesedaran, tidak memasuki suasana yang ada fana, baqa, zauk, bersatu dengan Tuhan dan yang seumpamanya. Penekanan pada jalan kenabian adalah kehambaan kepada Tuhan, mengerjakan yang makruf dan mencegah yang munkar dan berjihad pada jalan Allah s.w.t. Pada jalan ini kecintaan kepada Tuhan berlaku secara rasional. Tidak ada rintihan untuk bersatu dengan Tuhan atau tangisan kerana berpisah dengan-Nya. Pada jalan kenabian seseorang Muslim menetap dalam suasana kehidupan harian, tidak mengasingkan diri di tempat yang sunyi. Mereka menceburkan diri dalam urusan mengadakan kesejahteraan kepada masyarakat. jalan kesufian: Jalan kesufian terkenal dengan latihan kerohanian yang dilakukan secara mengasingkan diri di tempat-tempat yang sunyi. Pada jalan ini penekanannya adalah hubungan hamba dengan Tuhan. Dalam aspek ini seseorang sufi sangat bersungguh-sungguh. Aspek hubungan sesama manusia sangat kurang dilakukan. Biasa terjadi seseorang sufi tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekelilingnya. Penekanan terhadap hubungan dengan Allah s.w.t semata-mata dengan latihan yang menjurus ke arah tersebut biasanya membawa sufi kepada suasana yang ada pengalaman zauk, jazbah, fana, baqa dan bersatu dengan Tuhan. Sebahagian sufi menetap pada jalan kesufian sementara sebahagian yang lain kembali kepada jalan kenabian. Sufi yang telah sempurna perjalanannya biasanya kembali kepada jalan kenabian dan mengambil bahagian dalam urusan masyarakat. jalan mahabbah: Peralihan daripada jalan kesufian sebelum menetap pada jalan kenabian. Ketika berada pada jalan mahabbah seseorang itu terlepas sedikit demi sedikit daripada kesan mabuk, fana dan baqa. Apabila kesedarannya kembali sepenuhnya dia kembali menetap pada jalan kenabian. Jamhut: Keadaan Allah s.w.t yang tidak dapat dihuraikan. jazbah: Sufi melatihkan diri untuk tidak mengingati sesuatu kecuali Allah s.w.t. Penghapusan kesedaran kemanusiaan membawa sufi bertembung dengan suasana atau hal yang dinisbahkan kepada ketuhanan. Pembukaan terhadap alam ghaib memberi kesan yang kuat kepada hati sufi. Kesan tersebut dinamakan jazbah. Sufi yang mengalami jazbah merasai atau menyaksikan dengan mata hatinya tentang hal-hal ketuhanan. jazbah khadam: Ada orang yang melakukan latihan atau amalan khusus untuk membuka alam ghaib bukan kerana mahu mendekati Allah s.w.t. Bila terbuka alam makhluk halus kepadanya, makhluk halus menguasainya. Penguasaan makhluk halus tersebut menyebabkan berlaku perubahan pada jiwa dan fikirannya. Dia menjadi alat yang menterjemahkan keadaan makhluk halus yang menguasainya. Sebahagian daripada mereka dapat mengambil manfaat daripada makhluk halus yang berdampingan dengannya. Sebahagian yang lain pula dikuasai secara menyeluruh oleh makhluk halus tersebut hingga menyebabkan mereka menjadi gila. Penguasaan makhluk halus tersebut dinamakan jazbah khadam. junub: Keadaan tidak suci. Junub zahir terjadi kerana keluar mani (samada dengan bersetubuh ataupun tidak) dan juga kerana bersetubuh (keluar mani ataupun tidak). Junub batin adalah kelalaian hati daripada mengingati Allah s.w.t. Apabila hati lalai maka syaitan akan memasukinya. Kekejian syaitan mengotorkan hati. Kalam Hakiki: Kalam Allah s.w.t. Apa sahaja yang ada pada Allah s.w.t adalah Hakiki atau Mutlak. Perkataan Allah s.w.t yang ke sejuta dengan perkataan-Nya yang pertama tidak berbeza, tiada jarak ruang atau masa. Tiada jarak dan perbezaan di antara Kalam-Nya tatkala mula-mula menciptakan alam dan tatkala Dia mengadakan kiamat kelak. Perkataan-Nya Yang Hakiki bukanlah susunan kata-kata yang ada abjad dan suara. Hanya Dia yang mendengar dan mengetahui Kalam Hakiki-Nya. Kalimah Syahadah: Asyhadu an- la ilaha illa Llah wa- asyhadu anna Muhammad ar- Rasul ul- Llah Kalimah Tauhid: La ilaha illa Llah kamaliah: Nafsu kamaliah. kasyaf: Terbuka pandangan mata hati kepada perkara ghaib. Kasyaf ada dua jenis iaitu kasyaf kecil dan kasyaf besar. Kasyaf kecil ialah terbuka pandangan mata hati untuk melihat kepada benda-benda dan suasana alam yang ghaib seperti alam kubur, makhluk halus, alam arwah dan sebagainya. Kasyaf besar pula adalah terbukanya pandangan mata hati untuk melihat sesuatu mengenai Tuhan pada perkara dan suasana makhluk.
Kebenaran Hakiki: Kebenaran yang sejati sebagaimana yang dikhabarkan oleh al-Quran dan al-Hadis.
khalaq: Makhluk yang diciptakan oleh Allah s.w.t. khalifah: Hamba yang diamanahkan oleh Tuhan untuk memikul beban menguruskan kehidupan di bumi serta memakmurkannya menurut peraturan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. Khalifah bertanggungjawab menegakkan keadilan dan kebenaran. khalifah ar-rasyidin: Pemimpin umat Islam yang dibimbing oleh Allah s.w.t dan diperakui kebenaran mereka oleh Rasulullah s.a.w. Mereka ialah Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali. Selain mereka Umar bin Abdul Aziz dikatakan termasuk juga dalam kumpulan khalifah ar-rasyidin. khalifah kerohanian: Salik yang telah kembali kesedarannya dan mempunyai keupayaan untuk menguruskan kehidupannya dan bidang pengkhususannya serta mempunyai ilmu yang mencukupi dalam bidang kerohanian layak bergelar khalifah kerohanian. Mereka mempunyai keupayaan untuk membimbing orang lain berjalan pada jalan Allah s.w.t. Mereka mampu menghuraikan pengalaman kerohanian yang ditempuh oleh orang yang menerima bimbingan mereka. khalq: Makhluk, iaitu perubahan keadaan ‘adam daripada tidak ada kepada ada setelah memperolehi nikmat penciptaan daripada Allah s.w.t. khalwat: Pengasingan diri di tempat yang sunyi. khurafat: Kepercayaan yang menyalahi ajaran agama. Khutbah Makrifat: Kesimpulan mengenai kedudukan Allah s.w.t sebagai Tuhan yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, kedudukan kewujudan pada sisi-Nya dan kedudukan makhluk yang diciptakan-Nya. Penghayatan kepada Khutbah Makrifat yang ringkas hanya terjadi setelah seseorang memperolehi makrifat, iaitu mengenal Allah s.w.t dan mengenal peraturan-Nya pada makhluk-Nya. khilafiah: Perkara-perkara yang menimbulkan keraguan dan pertikaian lantaran tidak ada nas yang jelas mengenai hukumnya. kitabul mubin: Kitab yang nyata, iaitulah segala perkara yang dijadikan oleh Allah s.w.t. Hati yang memiliki nur makrifat menyaksikan apa sahaja kejadian Tuhan seumpama cermin untuk dia melihat sesuatu tentang Tuhan. Sekalian alam ini merupakan kitab baginya untuk mengenal Allah s.w.t dan memperolehi hikmah dalam menjalani kehidupan harian. Kuasa Mutlak: Kuasa Allah s.w.t. Tatkala Allah s.w.t berkuasa menciptakan hamba-Nya tatkala itu juga Dia berkuasa mematikannya. Tatkala Dia berkuasa menciptakan alam tatkala itu juga Dia berkuasa mengkiamatkannya. Kuasa Mutlak tidak berjalan mengikut susunan. Pada Kuasa Mutlak tidak ada suasana bergerak langkah pertama dahulu baharu bergerak langkah ke dua. Bagi Kuasa Mutlak langkah awal dengan langkah akhir adalah yang sama. Pada Kuasa Mutlak tidak ada jarak tindakan-Nya menciptakan alam dengan tindakan-Nya mengadakan kiamat terhadap alam. Jarak, ruang dan masa menguasai makhluk yang tidak mutlak. Allah s.w.t Yang Mutlak tidak dikongkong oleh jarak, ruang dan masa. Keadaan yang demikian dipanggil Berdiri Dengan Sendiri. Kudrat: Kuasa, iaitu kuasa Allah s.w.t. kufur syariat: Perlakuan yang jelas memesong akidah yang menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam, misalnya sengaja menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah s.w.t. kufur tarekat: Kufur tarekat berlaku di luar kesedaran dan kawalan orang yang sedang dikuasai oleh jazbah. Dalam suasana yang demikian orang yang berkenaan mungkin mengeluarkan perkataan yang menyalahi syariat seperti mengakui persamaan wujud hamba dengan Wujud Tuhan. Oleh kerana perkara tersebut berlaku diluar kesedaran dan kawalannya maka kesalahannya itu perlu dimaafkan, tetapi ianya tidak boleh diikuti oleh orang lain yang di dalam kesedaran biasa. Kursi: Arasy menjadi benteng yang kukuh menghijab makhluk daripada Tuhan. Tanpa hijab Arasy kewujudan makhluk akan hancur kerana tidak tahan menerima tajalli Tuhan. Kursi pula menjadi benteng yang kukuh menghalang pencerobohan makhluk terhadap perbendaharaan Tuhan seperti Lohmahfuz. Makhluk yang menerima perintah mendiami ruang di bawah daripada Kursi. Tidak ada daripada kalangan makhluk ini yang mampu menembusi Kursi untuk mengambil sesuatu daripada perbendaharaan Tuhan. Hanya makhluk yang menjalankan Urusan Tuhan diizinkan mengambil perintah Tuhan yang dibentengi oleh Kursi. Jadi, Kursi menjadi hijab atau benteng yang memisahkan golongan makhluk yang membawa urusan Tuhan dengan makhluk yang menanggung kewajipan menjalankan perintah Tuhan. Lahut/Alam Lahut: Makam zat Allah s.w.t yang tidak mampu diceritakan. latah: Ucapan yang menyalahi syariat yang muncul daripada orang yang sedang mengalami jazbah atau zauk, misalnya ucapan, “Ana al-Haq”. Oleh kerana ucapan yang demikian keluar di luar kesedaran dan kawalannya, maka orang yang berkenaan berhak dimaafkan tetapi orang yang sengaja mengucapkan yang demikian di dalam kesedaran biasa berhak dihukum kufur. latifah: Unsur seni yang ghaib dan tidak dapat dijangkau oleh pancaindera, akal dan khayalan. Latifah Akhfa: Ia adalah Latifah atau unsur nurani yang paling dalam. Kesedaran kebatinan pada tahap Latifah Akhfa menghilangkan sifat-sifat yang menghijabnya iaitu sifat Rabbaniah (ketuhanan) yang tidak layak dipakai oleh makhluk. Sifat tersebut melahirkan rasa sombong, ujub dan riak. Apabila tenaga ibadat dan zikir berjaya membebaskan Latifah Akhfa daripada sifat rabbaniah akan muncullah sifat kebaikan seperti ikhlas dan tawaduk yang sebenarnya. Kesedaran dalam daerah ini membuat seseorang gemar bertafakur. Dalam kesedaran Latifah ini juga hati mengalami rasa kasih, keasyikan dan kerinduan yang bersangatan terhadap Rasulullah saw. Ucapan selawat merupakan ucapan yang sangat merdu dan mengasyikkan. Keasyikan terhadap Rasulullah saw dalam daerah Latifah Akhfa ini juga membuat seseorang mengalami suasana ‘pertemuan’ dengan rohani Rasulullah saw sama ada dalam mimpi atau pun dalam jaga. Pada tahap ini juga muncul Cinta Allah yang lebih halus dan lebih seni yang membawa hati bermuraqabah atau berhadap kepada Allah s.w.t semata-mata, tidak kepada selain-Nya. Latifah Kalbu: Nur Ilahi menjadi sumber kepada semua kewujudan dan penghidupan. Apabila berhubung dengan alam unsur kesan atau bakat nur Ilahi itu dinamakan Latifah Rabbaniah. Latifah Rabbaniah yang berkait dengan hati nurani dinamakan Latifah Kalbu. Ia merupakan induk kepada semua Latifah. Ia adalah umpama badan bagi semua unsur nurani atau rohani. Ia menjadi raja yang memerintah sekalian anggota tubuh manusia. Ia juga menjadi tilikan Allah s.w.t. Jika baik ia maka baiklah sekalian anggotanya. Ia dibungkus oleh alam perasaan yang berbolak-balik. Kesungguhan beribadat dan berzikir membebaskan Latifah Kalbu daripada hijab alam perasaan. Bila ia bebas daripada tutupan alam perasaan maka ia akan menghadap kepada alam ghaib dan menerima ilham yang bebas daripada bisikan syaitan. Hati yang bebas daripada bisikan syaitan dapat menghadap kepada Allah s.w.t dengan tenang. Latifah Khafi: Unsur nurani yang lebih mendalam daripada Latifah Sir. Latifah ini dihijabkan oleh sifat syaitaniah yang menerbitkan perasaan dengki, khianat dan busuk hati. Apabila tenaga ibadat dan zikir yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh berjaya menghancurkan sifat syaitaniah, akan muncullah sifat Latifah yang asli iaitu sabar, syukur, reda dan tawakal yang sebenarnya. Kesedaran pada tahap Latifah Khafi membuat seseorang memperolehi kekuatan rohani untuk menghampiri Allah s.w.t dan pada tahap Latifah ini juga selalu muncul perkara yang luar biasa seperti kebolehan mengubati penyakit dan mempunyai firasat yang tajam, walaupun bidang tersebut tidak pernah dipelajarinya. Kebolehan yang demikian adalah kurniaan Allah s.w.t semata-mata. Latifah Kullu Jasad: Latifah Rabbaniah yang menguasai sekalian jasad. Latifah ini dihijab oleh sifat lalai dan jahil. Setelah tenaga zikir berjaya memecahkan hijab tersebut akan lahirlah sifat beramal dan bermakrifat. Apabila Latifah Kullu Jasad sudah terlepas daripada hijab kelalaian dan kejahilan, maka sekalian anggota akan tunduk dan ikut serta dalam kegiatan ibadat. Kejeliraan ibadat dan zikir akan turut dirasakan oleh sekalian anggota tubuh badan. Latifah Nafsu Natiqah: Latifah Rabbaniah yang menguasai otak manusia. Otak manusia berfungsi ataupun manusia mempunyai akal kerana Latifah Nafsu Natiqah ini. Kadang-kadang manusia dipanggil haiwan yang pandai berfikir. Keadaan tersebut ditujukan kepada Nafsu Natiqah yang dimiliki oleh diri manusia itu. Nafsu Natiqah dihijab oleh sifat-sifat ammarah. Apabila berada dalam keadaan terhijab itulah akal manusia tidak dapat digunakan untuk menyaksikan sesuatu tentang Tuhan. Nafsu Natiqah dibaluti oleh gambaran keduniaan dan angan-angan yang menyenangkan hawa nafsu. Jika ibadat dan zikir berjaya menghancurkan hijab tersebut akan lahirkan sifat jiwa yang tenang dan akal dapat merenung sesuatu tentang Tuhan. Latifah Rabbaniah: Perkara-perkara ghaib lagi latif yang termasuk di dalam perkara urusan Tuhan yang hakikatnya tidak diketahui oleh manusia. Latifah Roh: Salah satu bakat atau keupayaan nurani yang ada pada Latifah Kalbu ialah Latifah Roh. Ia dibahasakan sebagai roh haiwani atau nyawa yang menghidupkan jasad. Apabila Latifah Roh berhenti berfungsi maka jasad akan mengalami kematian. Latifah Roh dibungkus oleh sifat- sifat keji yang mengheret manusia untuk memenuhi tuntutan syahwat tanpa menghiraukan akibat dan dosa. Suasana Latifah Roh yang tertutup itulah menyebabkan manusia mudah terdorong kepada maksiat. Tenaga ibadat dan zikir akan memecahkan tutupan tersebut dan membebaskan Latifah Roh melahirkan bakat dan keupayaannya yang kuat beribadat, bertawakal dan reda dengan takdir Allah s.w.t. Kesedaran pada tahap Latifah Roh ini membuatkan seseorang melakukan ibadat dan berzikir dengan banyaknya tanpa berasa penat dan jemu. Latifah Sir: Unsur nurani yang lebih seni daripada Latifah Roh adalah Latifah Sir. Ia dibahasakan sebagai Roh Insan. Peranan Latifah Sir inilah yang memastikan bahawa insan menjadi insan, tidak menjadi makhluk lain dan juga makhluk lain tidak menjadi insan. Latifah Sir atau Roh Insani ini dihijab oleh sifat buruk yang mendorong manusia bermusuhan sesama sendiri, melakukan kezaliman, berdendam dan saling membenci. Apabila sifat-sifat ini dihancurkan dengan tenaga ibadat dan zikir akan muncullah sifat Latifah Sir yang asli iaitu mencintai Allah s.w.t dengan teramat sangat. Kesedaran kebatinan pada tahap Latifah Sir inilah yang sering membuat hati gilakan Allah s.w.t hingga ke tahap tidak rasional. lawwamah: Nafsu lawwamah. mabuk: Keadaan orang yang di dalam jazbah. Dia lupa kepada dirinya tetapi pancainderanya masih aktif. Hati nuraninya dikuasai oleh hal ketuhanan yang berbeza dengan sifat kemanusiaan. Oleh yang demikian lahirlah perbuatan dan perkataan yang menyalahi peraturan kemanusiaan. mahabbah: Cinta. majnun: Gila. majzub: Orang yang mengalami jazbah. makam: Hati hamba menjadi tempat curahan kurniaan Allah s.w.t. Dikurniakan-Nya berbagai-bagai hal kepada hati hamba-Nya. Kurniaan yang demikian adalah semata-mata kerana rahmat dan belas kasihan-Nya kepada hamba-Nya. Hamba tidak berupaya mendapatkan yang demikian dengan amal dan ilmunya. Tetapi apabila kurniaan tersebut diterima oleh hati, maka si hamba perlu mengambil langkah yang sesuai bagi menetapkan hal berkenaan pada hatinya. Apabila hal kurniaan Allah s.w.t itu menetap di dalam hati. Hal yang telah diserapkan menjadi makam akan membentuk sifat dan keperibadian khusus dan berterusan menurut hal berkenaan. makam abid: Ada sebahagian daripada hamba-Nya dikurniakan hal merasakan kehambaan yang sangat kuat terhadap Allah s.w.t. Hal yang demikian membuatkan si hamba itu mempergiatkan amal ibadatnya. Setelah keadaan yang demikian sebati dengannya akan terbentuklah sifat dan keperibadian yang teguh kehambaannya dan kuat ibadatnya. Suasana yang demikian dinamakan makam abid. makam al-buhut: Hamba yang sampai kepada penghujung jalan ilmu dan makrifat akan menemui suasana kehairan-hairanan tentang zat Ilahiat yang tidak mampu dihuraikan oleh ilmu dan tidak mampu diperkenalkan oleh makrifat. Bila suasana demikian menguasai jiwa raganya dia dikatakan memperolehi makam al-buhut. makam alif: Suasana hati yang menghadap Tuhan dengan tetap, tidak teringat kepada sesuatu yang lain. makam Amin: Orang yang lulus ujian iman dan menetap di atas jalan takwa memperoleh kesejehteraan dan ketenangan. Suasana yang demikian dinamakan makam Amin. Imannya telah teguh, tidak dapat digoncangkan oleh sesuatu. makam arifbillah: Setelah melepasi peringkat kehairan-hairanan si hamba dibawa kepada ilmu dan makrifat yang berbeza dengan yang sebelumnya. Pada tahap ini si hamba mendapat pengetahuan tentang Allah s.w.t secara mengetahui tetapi tidak ada pengetahuan tentang-Nya namun, keyakinannya teguh bahawa Allah s.w.t yang diketahuinya. Dia juga memperolehi makrifat secara mengenali Allah s.w.t tetapi tiada sebarang pengenalan tentang-Nya, tetapi keyakinannya teguh bahawa Allah s.w.t yang dikenalinya. Dia dikatakan melihat Allah s.w.t secara tanpa huruf, tanpa suara, tanpa ibarat dan tanpa sesuatu yang boleh disifatkan. Hamba yang mengenali Allah s.w.t pada tahap demikian dikatakan mencapai makam arifbillah. makam asbab: Manusia dikelilingi oleh perjalanan hukum sebab musabab dan mereka mengambil bahagian dalam sistem tersebut. Mereka melihat kekuatan hukum sebab dalam menghasilkan akibat. Bila keyakinan sudah penuh terhadap keberkesanan hukum sebab-akibat itu menguasai hati maka mereka dikatakan berada dalam makam asbab. makam baqa: Kebaqaan adalah suasana kerohanian yang muncul selepas suasana kefanaan. Dalam proses menaik, iaitu kefanaan, berlaku pelepasan benda-benda alam, makhluk dan diri sendiri daripada kesedaran hati seseorang. Kehendak diri sendiri juga terhapus. Pada kemuncak kefanaan seseorang tidak ingat dan tidak menyedari tentang sesuatu melainkan Allah s.w.t. Selepas peringkat kemuncak kefanaan itu, ingatan dan kesedarannya terhadap dirinya dan makhluk lain kembali sedikit demi sedikit. Pada tahap ini walaupun dia melihat, menyedari dan mengingati dirinya dan makhluk namun, hatinya masih lagi kuat dikuasai oleh hal ketuhanan yang menyebabkan dia melihat suasana kekekalan dirinya dengan Tuhan. Dia masih melihat persamaan wujudnya dengan Wujud Tuhan. Suasana yang demikian dinamakan makam baqa. Setelah melepasi makam baqa ini baharulah hamba dapat membezakan sepenuhnya wujud makhluk dengan Wujud Tuhan. makam fana: Suasana terhapusnya kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk sekaliannya, yang ada hanyalah Allah s.w.t. makam hakikat: Suasana yang ada pengalaman mengenai hal-hal ketuhanan seperti menyaksikan suasana ilmu Tuhan atau urusan pentadbiran Tuhan. Orang yang berada pada makam hakikat hanya melihat Tuhan, dengan Tuhan dan kepada Tuhan. makam Hakikat Muhammad: Nur Allah merupakan sumber kepada segala kewujudan. Setiap makhluk yang Tuhan ciptakan adalah berdasarkan hakikat berkenaan yang ada pada sisi Allah s.w.t. Hakikat yang ada pada sisi Allah s.w.t itu adalah terjemahan kepada keadaan Nur Allah s.w.t. Kesemua hakikat-hakikat tersebut menceritakan sebahagian daripada keadaan Nur Allah s.w.t kecuali satu hakikat. Hakikat yang satu ini merupakan terjemahan sepenuhnya mengenai Nur Allah s.w.t. Hakikat yang mendapat penguasaan Nur Allah s.w.t secara keseluruhan itu adalah hakikat yang berdasarkan kepadanya Nabi Muhammad s.a.w diciptakan dan ia dinamakan Hakikat Muhammad. Jadi, Hakikat Muhammad merupakan hakikat yang menyeluruh sementara hakikat-hakikat yang lain adalah umpama cabang-cabangnya. Oleh yang demikian terdapat ‘jambatan’ di antara hakikat-hakikat yang lain dengan Hakikat Muhammad. Oleh kerana susunan hakikat yang demikian, maka ada dari kalangan hamba-hamba Allah yang dapat menyeberangi jambatan tersebut untuk sampai kepada Hakikat Muhammad. Keadaan ini berlaku dalam pengalaman kerohanian semata-mata, bukan perjalanan secara nyata. Hamba yang mengalami suasana demikian dikatakan mencapai makam Hakikat Muhammad. Pada makam ini hati si hamba dikuasai oleh rasa kecintaan teramat sangat kepada Allah s.w.t dan rasa yang demikian membuat hatinya berhadapan sepenuhnya dengan Allah s.w.t. makam hamba pilihan: Hamba yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk memikul sesuatu tugas akan dibawa kepada jalan yang akan memantapkan kerohaniannya sehingga dia layak memikul tugas berkenaan. Dalam proses tersebut si hamba dihadapkan dengan ujian bala bencana. Tujuan bala tersebut bukanlah untuk memusnahkan si hamba itu tetapi untuk membentuk dirinya. Oleh yang demikian Allah s.w.t memperkuatkan hamba-Nya itu dengan bekalan kesabaran. Kesabaran dalam menghadapi ujian merupakan latihan yang sangat berkesan membentuk kerohanian seseorang. Dalam menuju kemantapan si hamba dibekalkan pula dengan kekuatan reda. Bila kerohaniannya sudah cukup mantap dicanai oleh keredaan dia menetap dalam suasana yang dipanggil makam hamba pilihan. Dalam suasana ini dia sudah benar-benar bersedia untuk memikul beban tugas yang Allah s.w.t sediakan untuknya. makam ihsan: Apabila hati seseorang hamba itu dapat merasakan kehadiran Allah s.w.t pada setiap masa maka ia dikatakan mencapai makam ihsan. makam ikhlas: Ikhlas peringkat pertama adalah ikhlas yang dipaksakan samada sebelum melakukan sesuatu perbuatan ataupun sesudah melakukannya. Seseorang itu perlu mengingatkan dan mengawasi hatinya agar keikhlasan tidak dirosakkan oleh ungkitan ataupun perasaan riak. Setelah keikhlasan sudah menjadi sifat dan keperibadian, seseorang itu tidak perlu memperingatkan dan mengawasi hatinya daripada anasir yang merosakkan keikhlasan itu, malah tidak terlintas pada hatinya tentang perbuatannya itu ikhlas atau tidak. Hamba yang sudah benar kedudukannya dengan Tuhannya akan memiliki keikhlasan secara spontan pada setiap amalannya tanpa dia perlu memperjelaskan niatnya. Suasana yang demikian dinamakan makam ikhlas. makam insan: Setelah melepasi peringkat fana dan baqa dalam perjalanan kerohanian seseorang salik itu kembali kepada kesedaran manusia biasa, iaitu dia kembali kepada makam insan. makam Jabarut: Dalam perjalanan menaik kerohanian salik akan sampai kepada peringkat penguasaan sifat Tuhan terhadap hatinya. Dia dikatakan memasuki makam jabarut. makam kalbu: Apabila salik dapat melepaskan pengaruh alam benda dan tarikan hawa nafsu daripada hatinya, dia masuk kepada kesedaran hati. Dia dikatakan mencapai makam kalbu. makam keesaan: Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Esa. Kekuatan akal dan khayal tidak mampu menyingkap atau menghuraikan keadaan keesaan Tuhan itu. Keesaan Tuhan tersingkap melalui pengalaman kerohanian. Dalam suasana keesaan itu seseorang diizinkan merasai ketiadaan diri dan segala yang lain, yang ada hanyalah Allah s.w.t. makam kehambaan: Keadaan orang yang menyaksikan kehambaan dirinya dan ketuhanan Allah s.w.t. makam kehampiran: Suasana hati yang merasai kehampiran dengan Allah s.w.t. makam ketuhanan: Hal-hal atau keadaan ketuhanan. Sebahagian orang mengalami jazbah dan merasai hal-hal atau keadaan tersebut.
makam keteguhan: Sebelum mencapai satu tahap kematangan kerohanian, hati salik berada dalam keadaan berbolak-balik. Keresahan dan dukacita masih berpeluang memasuki hatinya. Setelah dia melepasi peringkat tersebut kesabaran, penyerahan dan keredaannya kepada Allah s.w.t menjadi teguh. Dia memasuki makam ketetapan yang penuh dengan ketenangan. makam kewalian: Hamba yang sampai kepada makam ketetapan dibawa kepada penjagaan dan pemeliharaan Allah s.w.t. Tuhan memelihara hatinya dan anggotanya daripada melakukan maksiat. Dia dipermudahkan melakukan ibadat dan kebajikan. Apa sahaja yang sampai kepadanya sudah ditapis. Dia hanya menerima yang bersih dan tiada kemudaratan sahaja. Apabila dia terbabas kepada melakukan kesalahan dia dengan segera dibawa kembali kepada jalan yang benar. Suasana demikian dinamakan makam kewalian. makam khalifah: Kedudukan yang layak menjadikan seseorang khalifah kerohanian yang boleh membimbing orang lain. makam Lahut: Hal Zat Allah s.w.t yang melepasi semua penyifatan. makam mahabbah: Apabila hati hamba mempunyai pertalian dengan hakikat dirinya dan terbuka hubungan dengan Hakikat Muhammad akan memancarlah nur yang membukakan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Allah s.w.t. Dia dikatakan mencapai makam mahabbah. makam makrifat: Hamba yang sudah sampai kepada peringkat mengenal Allah s.w.t secara hakiki dikatakan memperolehi makam makrifat. makam melihat Allah s.w.t.: Hati yang akrab dengan Allah s.w.t berada dalam keadaan menyaksikan sesuatu mengenai-Nya pada setiap masa dan setiap suasana. Dia menyaksikan sesuatu mengenai Allah s.w.t pada dua perkara yang bertentangan dengan sekali pandang. Perjalanan hukum sebab musabab dan pergerakan makhluk di dalamnya tidak menutup pandangannya daripada menyaksikan rububiah. Dia dikatakan mencapai makam melihat Allah s.w.t. Melihat-Nya bukanlah dengan mata di kepala tetapi ia adalah penyaksian mata hati yang lahir daripada kecintaan dan kerinduan kepada-Nya. makam Mukmin: Apabila kecintaan terhadap Allah s.w.t, Rasul-Nya dan berjihad pada jalannya melebihi daripada segala-galanya maka layaklah seseorang muslim itu disebut sebagai berada pada makam Mukmin. makam muqarrabin: Hati yang sudah melimpah-ruah dengan Nur Ilahi akan merasakan keakraban dengan-Nya. Tidak ada lagi hijab dan jarak yang memisahkan di antara hamba dengan Tuhan. Allah s.w.t disaksikan di mana-mana, pada segala sesuatu dan pada setiap waktu. Apa sahaja yang dipandang menjadi cermin untuk melihat sesuatu mengenai-Nya. Apa sahaja yang sampai kepada hati adalah umpama tutur-kata-Nya. Beginilah suasana hati yang merasai kehampiran dan keakraban dengan Tuhan atau yang sampai kepada makam muqarrabin. makam Muslim: Apabila seseorang Islam dapat berpegang teguh dengan peraturan Islam dan mengamalkannya dengan sebaik mungkin maka layaklah dia mendapat makam Muslim. makam musyahadah: Keakraban dan kehampiran dengan Allah s.w.t membawa hati si hamba kepada hal atau suasana kerohanian yang dipanggil saling berhadapan dan berpandangan dengan Tuhan. Inilah makam musyahadah. makam muttaqin: Apabila sifat ketakwaan sudah teguh seseorang hamba itu mencapai makam muttaqin. makam nafsu: Sifat nafsu boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu nafsu yang keji dan nafsu yang terpuji. Jika sifat nafsu yang keji menguasai hati maka hati itu berada dalam makam nafsu yang keji. Jika sifat nafsu yang terpuji menguasai hati maka hati berada dalam makam nafsu yang terpuji. Makam nafsu yang paling keji ialah nafsu ammarah. Makam nafsu yang terpuji ialah muthmainnah ke atas. Nafsu yang keji menghijab hati daripada menerima nur dari alam ghaib, dengan demikian menghalang cahaya iman daripada memasuki hati. makam penetapan: Apabila pencarian telah berakhir dan pengalaman kerohanian telah menemukan Yang Haq maka seseorang itu mendapat kepastian mengenai ketuhanan dan kehambaan yang telah mengelirukannya dahulu. Ketika mencari pandangannya masih diliputi oleh keraguan dan ketidak-pastian. Dia masih ‘memandang ke atas’ atau dalam keadaan mencari atau menanti yang dia sendiri tidak tahu apa yang dicari dan dinanti. Bila Kebenaran Hakiki dibukakan kepadanya dia mendapat keyakinan dengan pegangan atau iktikadnya dan ianya tidak bergoncang lagi. Dia dikatakan memperolehi makam penetapan. makam penyaksian: Pada makam penyaksian mata hati sentiasa memandang kepada Allah s.w.t. Apa sahaja yang dilihat dan dihadapi membuka pandangan hati kepada sesuatu yang mengenai Tuhan, seperti nama-Nya, sifat-Nya, kebesaran-Nya, kemuliaan-Nya dan lain-lain. Pada makam ini Allah s.w.t dikenali melalui dua perkara yang bertentangan. Pertentangan tersebut tidak menutup pandangan hati untuk melihat kehadiran Allah s.w.t pada kedua-dua perkara tersebut. Apabila kehadiran Allah s.w.t dapat disaksikan atau dirasakan pada dua perkara yang berlawanan dengan sekali pandang, maka seseorang itu dikatakan berada pada makam penyaksian. makam pilihan: Apabila Allah s.w.t memilih seseorang hamba-Nya bagi sesuatu tujuan menurut kehendak-Nya, si hamba itu akan dibawa melalui berbagai-bagai proses dan latihan kerohanian sehingga dia berada dalam keadaan layak dan kuat untuk menanggung beban tugas yang akan Allah s.w.t letakkan di atas bahunya. Hamba yang sudah layak memikul tugas itu dikatakan berada pada makam pilihan. Dia dipilih oleh Allah s.w.t untuk melaksanakan sesuatu urusan-Nya demi kebaikan agama-Nya dan makhluk-Nya. makam reda: Setelah hamba berjaya melepasi ujian dengan kesabaran yang teguh dia masuk pula kepada suasana reda dengan takdir Allah s.w.t. Bila sifat reda sudah teguh pada hatinya dia mencapai makam reda. makam roh: Roh atau rohani pada asal kejadiannya adalah suci bersih. Percantuman dengan jasad menyebabkan wujud hijab-hijab yang menutup keaslian roh itu. Setelah melalui beberapa proses dan latihan kerohanian hijab-hijab tersebut dapat disingkapkan. Keaslian roh muncul semula. Semua ini dinamakan makam roh. makam sabar: Hati yang teguh dengan sifat kesabaran berada dalam makam sabar. makam siddiqiyat: Makam orang yang benar, iaitu orang yang bersesuaian kehendaknya dan pebuatannya dengan kehendak Allah s.w.t dan peraturan agama-Nya. makam Sir: Bila hati kembali kepada kesucian dan kemurniaannya yang asli dan kembali memakai sifat rohani yang sejati, ia dikatakan berada pada makam sir. makam syuhud: Makam syuhud adalah makam penyaksian iaitu menyaksikan rububiah pada setiap waktu dan semua suasana. makam takdir: Apabila hamba reda sepenuhnya kepada kehendak dan ketentuan Allah s.w.t dia dikatakan mencapai makam takdir. Kesenangan dan kesusahan menjadi dua perkara yang serupa baginya, iaitu takdir Tuhan untuknya. makam tajrid: Suasana hati yang bergantung sepenuhnya kepada Allah s.w.t, teguh dengan sifat-sifat sabar, tawakal, reda dan ikhlas kepada-Nya. Karenah makhluk dan teka teki sebab musabab tidak melemahkan pergantungan dan penyerahannya kepada Allah s.w.t. makam tauhid sifat: Pada makam tauhid sifat hamba menyaksikan kesempurnaan dan keelokan sifat Allah s.w.t. Dia tidak melihat ada makhluk yang berkuasa mendatangkan kemudaratan dan kemanfaatan kepada sesiapa pun. Penyaksian hatinya adalah Allah s.w.t jualah yang berkuasa dan Dia jualah yang hidup. Dia Berdiri Dengan Sendiri dengan segala sifat kesempurnaan-Nya. makam tiada doa: Bila ingatan dan kesedaran terhadap diri sendiri serta kehendak diri sudah lebur di dalam hal ketuhanan tidak ada apa lagi yang mendorong si hamba berdoa kepada Tuhan. Bila dirinya dikembalikan bersama-sama kehendaknya dia kembali kepada suasana yang ada permintaan dan doa. makrifat: Pengenalan terhadap hakikat-hakikat yang dialami oleh hati yang membawa kepada pengenalan terhadap Tuhan. makrifat diperolehi setelah terjadinya kasyaf, iaitu pembukaan kepada keghaiban. makrifatullah: Hasil daripada pengalaman mengenai hakikat-hakikat seseorang hamba itu memperolehi makrifatullah, iaitu mengenal Allah s.w.t sekadar yang Dia mahu diri-Nya dikenali.
makruf: Perbuatan baik yang sesuai dengan nilai-nilai murni kemanusiaan yang dilakukan kerana mentaati perintah Allah s.w.t. malakut: Malaikat. Alam malakut adalah alam malaikat. mansuh: Dibatalkan. mardhiah: Nafsu mardhiah. mata hati: Kebolehan atau bakat untuk menyaksikan perkara ghaib dan hal-hal ketuhanan yang ada pada hati, juga kebolehan hati untuk mengenal hakikat sesuatu.. Mata hati dapat melihat kejahatan syaitan sekalipun syaitan datang sebagai orang yang kelihatan alim dan warak. Lebih penting lagi mata hati mampu menyaksikan sesuatu mengenai Tuhan pada sesuatu perkara dan kejadian yang disaksikannya. Walaupun digunakan istilah mata hati tetapi ianya bukanlah bakat melihat seperti mata zahir di kepala. Mata hati melihat dan mendengar sekaligus. Suasana alam ghaib bukanlah seperti alam nyata. Rupa dan bahasa alam ghaib tidak sama dengan rupa dan bahasa alam nyata. Walaupun rupa dan bahasanya berbeza namun, mata hati boleh mengenal rupa tersebut dan memahami bahasa berkenaan. Keadaannya samalah seperti orang yang bermimpi menemui seseorang yang lain. Orang yang bermimpi itu mengenali orang yang ditemuinya itu walaupun orang tersebut tidak memperkenalkan dirinya. Orang yang bermimpi itu juga mengetahui apa yang diberitahu oleh orang yang berkenaan walaupun orang tersebut tidak berkata apa-apa. Demikianlah halnya mata hati, melihat dan mendengar sekaligus, mengenali dan memahami apa yang ditemuinya. mati hisi: Dalam suasana ini apa juga yang mengisi alam ini lenyap dari alam perasaan. Tidak ada lagi pemikiran, perasaan, bahasa, ruang, masa, ukuran dan rupa bentuk. Dia mengalami suasana yang kosong, tiada isi, tiada rupa, tiada bahasa dan tidak boleh diperkatakan apa-apa. Hatinya dikuasai oleh Wujud Allah s.w.t semata-mata, tidak ada yang lain. Keadaan kerohanian pada peringkat ini adalah menyaksikan zat yang kosong dari makhluk, yang maujud hanya Allah s.w.t. mati maknawi: Apabila seseorang sampai kepada peringkat keasyikan terhadap sifat Allah s.w.t bakat diri zahirnya dikuasai oleh bakat diri batin atau hati nuraninya. Penglihatan mata zahir dikuasai oleh penglihatan mata hati. Benda-benda alam tidak lagi menarik perhatiannya. Sifat-sifat alam benda tidak berbekas pada hatinya ketika mata hatinya memandang kepada sifat Allah s.w.t Yang Maha Sempurna dan Kekal. Kesedaran pancainderanya hilang dan dia dikuasai oleh suasana sifat Allah s.w.t. Kefanaan pada peringkat ini membuat seseorang melihat kepada keabadian. Dia tidak lagi melihat kepada jasad yang akan binasa dan tidak juga kepada dunia yang bersifat sementara. Dia dikuasai oleh suasana rohani sepenuhnya mati surri: Pengaruh nur dari alam ghaib kepada hati menyebabkan segala kewujudan yang sementara dan sifat kemanusiaan terhapus dari alam perasaan atau hati. Hatinya dikuasai oleh suasana alam ghaib yang bersifat nur. Dalam suasana demikian pengaruh nama Allah s.w.t sangat memberi bekas pada hatinya. Orang yang mengalami kefanaan ini sudah terputus dari sifat-sifat kemanusiaan maka lahirlah perwatakan yang ganjil dan aneh, tidak secucuk dengan tatasusila dan adab masyarakat. Percakapannya sukar dimengerti dan kadang-kadang menyinggung perasaan orang lain. Mungkin juga terkeluar dari mulutnya ucapan yang pada zahirnya bersalahan dengan syariat. mati tabii: Apabila hati seseorang mendapat keasyikan terhadap hal ketuhanan fikiran dan pancainderanya menjadi tidak aktif. Pendengaran dan penglihatan zahir tidak memberi kesan kepada hati dan fikiran. Pemikiran, perasaan dan keinginannya tidak memberi bekas kepada hatinya. Dia melihat kelakuan dirinya terjadi diluar kawalannya dan dia tidak berupaya menyekat apa yang mahu terjadi itu. Dia merasakan seolah-olah kuasa ghaib mengheretnya untuk berbuat sesuatu dan dia tidak berupaya menentang kuasa tersebut. Hubungan hatinya dengan Allah s.w.t sangat erat hinggakan setiap kali dia menyebut Allah hatinya merasakan seolah-olah Allah menjawab seruannya itu. Pada peringkat ini kesedaran diri lenyap di dalam lakuan Allah s.w.t. Hatinya menghayati bahawa Allah s.w.t jualah yang berkuasa melakukan segala sesuatu. Mikraj: Perjalanan Rasulullah s.a.w dari Baitul Makdis naik ke alam langit-langit, sampai ke Sidratul Muntaha dan seterusnya memasuki alam Arasy hingga ke tempat yang paling tinggi di Arasy. Di sana baginda s.a.w menerima perintah sembahyang fardu. muazzin: Juru bang. mubah: Perkara yang pada dasarnya adalah halal tetapi dikhuatiri bercampur dengan perkara yang haram. Muhajirin: Orang yang berhijrah dari Makkah ke Madinah. mujahadah: Perjuangan mengawal hawa nafsu dan membuang sifat-sifat yang tercela, menggantikannya dengan sifat-sifat yang terpuji. mulhid: Orang yang berpegang kepada fahaman wahdatul wujud dan membuang syariat hanya sekadar bersandar kepada ilmu tanpa melalui pengalaman kerohanian mengenai hakikat. muqarrabin: Orang yang merasakan akan kehadiran Allah s.w.t pada setiap ketika. muridin: Sama seperti salik. mursyid: Guru yang arif mengenai syariat zahir dan syariat batin dan juga mengamalkan kedua-duanya. Guru tersebut memiliki kedua-dua jenis ilmu iaitu ilmu fikah dan ilmu tasauf. Dia memahami selok-belok perjalanan kerohanian dan mampu menghuraikan pengalaman-pengalaman kerohanian yang ditempuhi oleh muridnya iaitu orang salik. Guru yang demikian memiliki kasyaf qulub, iaitu boleh membaca perkembangan pemikiran dan jiwa muridnya. Bakat tersebut memudahkan mursyid itu membimbing muridnya. musyahadah: Saling berhadapan, iaitu hamba berhadapan dengan Tuhan. Apa yang berlaku bukanlah berhadapan secara langsung. Ia adalah pengalaman kerohanian yang menyentuh hal ketuhanan. Tuhan membukakan hijab supaya hamba dapat mengenali-Nya sekadar yang Dia mahu diri-Nya dikenali. muttakhaliq: Orang yang memasuki alam kerohanian dan mengalami hal ketuhanan. Sifat, keperibadian, daya-rasa dan daya-nilainya berubah. Segala sesuatu diisbatkannya kepada Tuhan. Dia samada melihat dirinya sebagai alat dan Tuhan yang menggunakan alat ataupun dia melihat Tuhan mengurniakan kepadanya alat dan dia sendiri yang menggunakan alat tersebut. muttaqin: Orang yang menjalankan perintah Allah s.w.t dengan tepat dan bersungguh-sungguh meninggalkan larangan-Nya, iaitu orang yang bertakwa. muwahhid: Orang yang dikuasai oleh hal di mana kesedaran dan ingatannya terhadap dirinya dan sekalian makhluk sudah tidak ada lagi. Dia dikuasai oleh suasana ‘Allah’ semata-mata. Dia melihat ‘Allah’, mendengar ‘Allah’ dan merasa ‘Allah’ pada semua perkara dan ketika. mazhab: Aliran kefahaman mengenai agama. Mikraj: Perjalanan Rasulullah s.a.w dari Baitul Makdis naik ke Alam Langit-langit, sampai ke Sidratul Muntaha dan seterusnya memasuki alam Arasy hingga ke tempat yang paling tinggi di Arasy. Di sana baginda s.a.w menerima perintah sembahyang fardu. Muhajiirin: Orang yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.
mujahadah: Perjuangan mengawal hawa nafsu dan membuang sifat-sifat yang tercela, menggantikannya dengan sifat-sifat yang terpuji. Mujahidin: Tentera yang berjuang demi jihad pada jalan Allah s.w.t. mujtahid: Orang yang berkelayakan untuk berijtihad. muktabar: Kedudukan atau kebolehan yang diperakui oleh orang-orang yang mempunyai ilmu dalam bidang berkenaan. mulhamah: Nafsu mulhamah. mumkinul wujud: Wujud makhluk. munafik: Munafik kelas pertama muncul di Madinah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Mereka dipimpin oleh Abdullah bin Ubai. Mereka menolak kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka tidak memperakui bahawa wahyu itu datangnya dari Tuhan. Mereka beranggapan Nabi Muhammad s.a.w hanyalah seorang manusia biasa, bukanlah seorang rasul yang diutus oleh Tuhan. Mereka beranggapan wahyu hanyalah perkataan yang keluar daripada pemikiran Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun mereka menolak kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dan agama yang baginda s.a.w bawa namun, suasana di Madinah membuat mereka terpaksa menyertai Islam. Mereka memeluk agama Islam secara zahir sahaja sedangkan hati mereka menolaknya. Mereka menjadikan Islam bukan sebagai agama Tuhan, tetapi hanyalah sebagai sebuah pertubuhan atau pergerakan kemanusiaan. Oleh yang demikian mereka membuang ajaran dan peraturan agama pada bila-bila masa sahaja yang mereka suka. Mereka juga gemar mempersendakan kepercayaan agama yang mereka anggap lebih rendah daripada nilai-nilai kemanusiaan yang ada dengan mereka. Sifat-sifat munafik itu ‘berjalan’ dari satu generasi ke generasi yang lain, hinggalah kepada generasi sekarang. Kemunafikan yang ada bergantung kepada kekuatan sifat-sifat munafik yang menguasai hati. Jika sifat-sifat munafik itu sampai kepada tahap mampu menutup hati daripada melihat kebenaran ajaran dan peraturan Islam maka sifat-sifat kemunafikan itu bertukar menjadi kekufuran. munkar: Perkara baik menurut nilai-nilai murni kemanusiaan yang diperakui oleh ajaran agama menjadi perkara makruf sementara perkara buruk pula menjadi perkara munkar. Dalam agama, perbuatan makruf berhak mendapat pahala dan perbuatan munkar layak menerima dosa. muraqabah: Kehampiran hati dengan Allah s.w.t menyebabkan hati merasai bermuraqabah atau berhadapan dengan Tuhan. mursyid: Guru yang arif mengenai syariat zahir dan syariat batin dan juga mengamalkan kedua-duanya. Guru tersebut memiliki kedua-dua jenis ilmu iaitu ilmu fikah dan ilmu tasauf. Dia memahami selok-belok perjalanan kerohanian dan mampu menghuraikan pengalaman-pengalaman kerohanian yang ditempuhi oleh muridnya iaitu orang salik. Guru yang demikian memiliki kasyaf qulub, iaitu boleh membaca perkembangan pemikiran dan jiwa muridnya. Bakat tersebut memudahkan mursyid itu membimbing muridnya. muta’allim: Orang yang menuntut ilmu. muthmainnah: Nafsu muthmainnah. Mutlak: Keadaan Tuhan yang Berdiri Dengan Sendiri. mutahaqqiq: Salik yang telah melepasi peringkat fana dan baqa dan kembali kepada kesedaran kemanusiaan seperti biasa. Mutahaqqiq berkemampuan menguruskan kehidupan di dalam dunia ini sebagaimana seorang manusia biasa, tidak lagi terbawa-bawa dengan kemabukan dan latah. muttakhaliq: Muttakhaliq adalah orang yang memasuki alam kerohanian dan mengalami hal ketuhanan. Sifat, keperibadian, daya-rasa dan daya-nilainya berubah. Segala sesuatu diisbatkannya kepada Tuhan. Dia samada melihat dirinya sebagai alat dan Tuhan yang menggunakan alat ataupun dia melihat Tuhan mengurniakan kepadanya alat dan dia sendiri yang menggunakan alat tersebut.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home