..:: Khutbah Jumaat 19 Januaril 2007 ::..
Marilah kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa. Taqwa yang bertambah kukuh apabila kita mengikut ajaran Islam, kita meninggalkan segala tegahan dan larangan Allah, dan kita laksanakan segala perintahNya.
Maasyiral Muslimin rahimakumullah,
Hari ini merupakan hari terakhir tahun 1427 Hijriyah. Esok, kita akan menyambut tahun baru 1428 Hijriyah. Hari berlalu begitu pantas sekali. Bulan dan tahun bertukar. Umur bertambah. Semakin jauh kita dari tarikh lahir kita, semakin dekat kita kepada kubur kita.
Oleh itu, saya menyeru kepada diri saya sendiri dan saudara-saudara sekelian, agar bersegera memohon ampun kepada Allah s.w.t, dan melakukan amal kebajikan serta meninggalkan perbuatan mungkar dan maksiat. Buatlah persiapan untuk menghadapi perjalanan seorang diri yang sangat panjang dan lama. Perjalanan merentasi alam kubur, alam barzakh dan Padang Mahsyar. Sebelum sampai kepada destinasi terakhir, Syurga atau Neraka.
Satu ketika para sahabat Rasulullah s.a.w melihat baginda tidur di atas tikar yang sangat kasar. Apabila baginda bangun, nampak kesan tikar tersebut di badan baginda. Para sahabat menawarkan untuk membeli alas yang lembut untuk baginda s.a.w. Apakah jawapan baginda? Baginda bersabda: Aku tidak berhajat kepada dunia. Aku ini hanyalah seperti seorang musafir yang sedang rehat sebentar di bawah sebuah pohon. Dan sebentar lagi aku akan bangun meninggalkan pohon ini dan meneruskan pelayaranku.
Begitulah saudara-saudara sekelian, bagaimana Rasulullah s.a.w menyifatkan dunia ini sebagai pohon tempat persinggahan. Marilah kita ambil ‘itibar dari hadith ini. Sedarlah bahawa kita tidak berada selama-lamanya di dunia ini. Satu hari kelak, kita akan meninggalkannya. Kita akan kembali kepada Allah, seorang diri, tanpa harta dan keluarga. Tiada yang menemani kita, melainkan amal soleh kita, pahala kita.
Maka marilah kita perbanyakkan amal soleh kita. Marilah kita perbanyakkan amal kebajikan kita. Agar segala perbuatan baik tersebut akan menemani kita di alam kubur yang gelap gelita, dan menemani kita ke Syurga kelak, amen.
Saudara-saudara yang dirahmati Allah,
Dalam keghairahan kita untuk mengerjakan amal-amal soleh, janganlah kita lupa bahawa amal soleh yang mendatangkan pahala yang banyak tidak hanya terhad kepada ibadat-ibadat yang biasa kita kenal, seperti solat, puasa, sedekah, baca Al-Quran dan sebagainya. Tetapi, amal soleh yang mendatangkan pahala yang banyak juga termasuk amal kebajikan yang dilakukan untuk mendatangkan manfaat kepada manusia lain.
Marilah kita renung hadith Rasulullah s.a.w berikut ini:
Maksudnya: Barangsiapa yang melepaskan satu kesusahan dari seorang mukmin di dunia ini, Allah akan melepaskan satu kesusahan dari kesusahannya di Akhirat kelak. Dan barangsiapa yang memudahkan untuk orang mengalami kesukaran, Allah akan memudahkan untuknya di dunia dan akhirat. Dan barangsiapa yang menutup keaiban seorang muslim, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat kelak. Allah s.w.t akan sentiasa membantu hambaNya, selagi mana hamba tersebut membantu saudaranya.
(Hadith riwayat Muslim dan lain-lain)
Hadith yang saya bacakan tadi cukup jelas kelebihan yang menanti mereka yang memberi sumbangan kepada saudaranya dan masyarakat umum. Kerana Islam bukanlah agama ritual semata-mata. Islam juga bukanlah agama peribadi semata-mata. Islam adalah gaya hidup yang menyeluruh, yang ditetapkan oleh Allah s.w.t, agar manusia dapat hidup dengan harmoni.
Membantu mereka yang susah, dengan tidak kira agama, termasuk dalam hadith yang saya bacakan sebentar tadi. Inilah semangat memberi sumbangan yang digalakkan oleh Islam. Dan semangat memberi sumbangan ini akan lebih cantik lagi jika dihiasi dengan akhlak mulia dan nilai murni yang terpuji.
Kita mempunyai contoh yang sangat baik dalam diri Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Qalam, ayat 2:
Ertinya: Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.
Inilah sepatutnya menjadi ikutan kita. Dan perintah mengikut contoh Rasulullah s.a.w jelas dalam surah Al-Ahzab, ayat 21:
Ertinya: Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.
Lihat sahaja bagaimana Rasulullah s.a.w ketika dipaksa keluar dari kota Mekkah dan terpaksa berhijrah ke Madinah, baginda tidak mendoakan yang buruk-buruk ke atas penghuninya yang bukan Islam. Inilah contoh akhlak mulia. Membalas keburukan dengan kebaikan. Melontarkan senyuman walaupun sedang menghadapi penindasan. Ini bukan sahaja akhlak yang mulia, bahkan satu senjata ampuh yang akan melegakan diri dari tekanan emosi, dan akhirnya akan menundukkan musuh. Allah s.w.t bersabda dalam surah ِFussilat, ayat 34:
Maksudnya: Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.
Mudah-mudahan dengan kedatangan tahun baru Hijrah ini, kita akan menjadi orang Islam yang lebih tinggi budi pekerti, banyak amal ibadat, kurang maksiat, dan banyak sumbangan kepada semua, amen.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home