Malam dengan ketenangan dan kejernihan suasananya merupakan sebaik-baik waktu untuk beribadat, kerana itu para mukmin digalakkan mengambil kesempatan-kesempatan keemasan itu untuk mengukuhkan hubungan dan kecintaannya kepada ALLAH. Alangkah qudusnya iman seseorang apabila di saat manusia yang lain sedang tidur nyenyak ia bangkit mendirikan sembahyang untuk mempersembahkan pujian, harapan, permohonan dan permintaan ampun kepada ALLAH ketika dunia diselubungi sepi dan gelita.
Di dalam al-Quran dan Hadis terdapat pelbagai sanjungan dan galakan supaya manusia mengejar fadhilat sembahyang malam, firman ALLAH Ta'ala:
"Dan di waktu malam bangkitlah sembahyang tahajjud sebagai sembahyang tambahan bagi ibadatmu semoga ALLAH membangkitkanmu di hari Akhirat dengan kedudukan dan darjat yang terpuji." - Al - Isra'(79).
Dalam satu Hadis lagi Rasulullah s.a.w. bersabda : "Buatlah amalan-amalan itu sekadar kuasamu kerana ALLAH itu tidak jemu hingga kamu jemu."
Amalan yang sedikit tetapi tekun adalah lebih baik dari amalan yang banyak tetapi jarang-jarang.
Di antara peraturan-peraturan yang disunatkan dalam sembahyang malam ialah :
(1) Apabila ia hendak tidur, ia disunatkan berniat untuk bangkit sembahyang malam supaya keazamannya dapat membangkitkannya di waktu yang tepat.
(2) Sesudah mencuci muka, mengambil wudhuk dan bersugi dia disunatkan membaca doa-doa khas sembahyang malam.
(3) Ia disunatkan memulakan sembahyang malam itu dengan dua rakaat yang pendek dan ringkas, selepas itu boleh ia menyambung sembahyang itu seberapa ia suka.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home