DULU orang sebut lidah buaya. Ada penghuni terutama perempuan berminat menanamnya di dalam pasu atau di penjuru halaman rumah. Ini kerana tanaman tidak berbatang itu mengandungi pelbagai khasiat untuk rawatan rambut, kulit dan penawar luka.
Kini, lidah buaya lebih dikenali sebagai aloe vera. Ada lebih 250 spesies tumbuhan aloe vera tetapi Aloe Barbadensis Miller lebih dikenali sebagai 'tumbuhan ajaib' kerana kemujaraban sebagai penawar kepada pelbagai penyakit.
Pokok lidah buaya adalah herba saka sekulen yang tumbuh sehingga 45 hingga 50 sentimeter (sm) tinggi dengan daunnya berisi bendalir, berwarna hijau, dipenuhi bintik bulat dan tepi daunnya yang tajam dan berduri turut menjadi pilihan peminat seni taman.
Keindahannya dapat dilihat pada tangkai bunganya yang boleh mencapai ketinggian satu meter yang muncul dengan segugus bunga yang berwarna kuning oren kemerah-merahan yang meluntur ke bawah.
Berdasarkan kajian sejarah, tumbuhan pelbagai guna ini berasal dari Afrika. Orang Sepanyol pula membawanya dalam perjalanan pengembaraan mereka untuk mengubati pesakit, manakala di Russia, ia digunakan bagi merawat kesan melecur. Di Greek pula, aloe vera digunakan sebagai penawar luka dan mengelak penyakit berjangkit.
Aloe vera terdiri daripada tiga komposisi iaitu glukos (monomeric sugar constituents), asid malik serta polisakarida dan monosakarida. Selain itu, terdapat lebih 200 komponen aktif seperti vitamin, mineral, enzim pada asid amino yang diperlukan dan protein.
Tumbuhan itu dapat membantu kesuburan dan keperluan tubuh badan khusus untuk mencegah penyakit seperti ulser perut, diabetes dan senggugut ketika kedatangan haid pada wanita.
Di samping itu, ia mempunyai formula semula jadi yang berkesan sebagai anti penuaan, anti ulser, anti jangkitan dan anti terhadap diabetes selama-lamanya untuk manusia.
Produk aloe vera yang biasa didapati di pasaran berbentuk cecair dan jarang sekali dikhususkan untuk pemakanan kerana lebih tertumpu untuk kegunaan luaran.
Apa yang pasti, herba digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk makanan dan minuman kesihatan, seperti tambahan diet, perisa dan pewangi selain kosmetik.
Minat masyarakat negara ini menanam tumbuhan ini sebagai pokok hiasan sama ada dengan kaedah pasuan atau terbiar adalah untuk dua tujuan iaitu hiasan laman dan keperluan perubatan.
Nama saintifiknya Aloe vera (L) Burm F dari keluarga Liliaveae dianggap sebagai ubat mentah yang penting dalam sejarah perubatan yang masih diguna secara meluas dalam perubatan moden mutakhir ini.
Ia mengandungi sebatian aspirin yang dapat melegakan sakit, menyembuhkan kecederaan kerana melecur, luka dan lain-lain selain kaya dengan nutrien serta mengandungi lebih 200 komponen aktif vitamin, mineral, asid amino, enzim dan bahan kimia tumbuhan yang lain yang dapat dimanfaatkan untuk menguat, mengekalkan dan menggalak aktiviti sel dalam tubuh manusia.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home