Hidup, Amal & Akhir HayatKu Untuk ALLAH s.w.t.

RENUNGILAH... HARGAILAH SEBUAH PERSAHABATAN KERANA DISEBALIKNYA TERSIMPUL SEGALA-GALANYA… Satu-satunya cara agar kita memperolehi kasih sayang, ialah jangan menuntut agar kita dicintai, tetapi mulailah memberi kasih sayang kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan. (Dale Carnagie)

Saturday, March 11, 2006

Pengajaran Daripada Peristiwa ISRAK Dan MIKRAJ

Jika minggu lepas, ruangan Bimbingan Rohani menceritakan peristiwa Israk dan Mikraj bersempena dengan bulan Rejab yang penuh keberkatan ini, maka minggu ini kita akan dapat melihat sebahagian daripada hikmah dan pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa tersebut ke arah meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita terhadap Allah S.W.T. Kami juga menggalakkan anda membaca pelbagai bahan bacaan atau mengikuti pengajian ilmu yang berkaitan bagi menambah pengetahuan serta meluaskan perspektif tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini.
Pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah :
1. Kuasa Allah S.W.T. adalah tidak terbatas dan Dia boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki oleh-Nya, seperti membawa Rasulullah S.A.W. dari kota Mekah ke Baitul Maqdis dan dibawa mengadap ke hadrat-Nya di Sidratul Muntaha di dalam jangkamasa yang begitu singkat, iaitu satu malam. Ini kerana apabila Rasulullah S.A.W. menceritakan tentang peristiwa ini kepada masayarakat umum di Mekah, mereka mentertawakan Rasulullah. Hanya Saidina Abu Bakar As-Siddiq mempercayai kata-kata Rasulullah, dan beliau diberi gelaran "As-Siddiq" yang bermaksud "orang yang benar".
2. Sebelum Rasulullah di"israk"kan, baginda telah menjalani suatu "pembedahan" untuk membersihkan hati, dan dimasukkan unsur rohani, iman dan hikmat. Ini menunjukkan kepada kita bahawa di dalam peringkat pertama untuk bertemu Allah S.W.T., kita perlu membersihkan diri dan jiwa kita daripada pelbagai sifat mazmummah yang tidak baik dan menanamkan sifat mahmudah yang baik. Dengan jiwa yang tenang, penuh keimanan dan ketakwaan akan dibawa bertemu dan mengadap Allah S.W.T.
3. Pelbagai peristiwa yang dilihat dan dialami oleh Rasulullah S.A.W. semasa di dalam Israk bersama malaikat Jibrail memberikan gambaran menyeluruh perihal umatnya di bumi ini dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah Allah. Ada yang melakukan kebajikan, ada yang melakukan kemaksiatan dan mereka menerima balasan yang setimpal dengan apa yang telah mereka kerjakan daripada Allah S.W.T.
4. Allah S.W.T juga telah menunjukkan kepada Rasulullah dan umatnya bahawa iman dan akidah yang teguh merupakan asas kepada sifat keislaman yang sejati dan akan diberi balasan baik oleh-Nya. Ini berlaku kepada tukang sikat Firaun, Mashitah sekeluarga. Walaupun diugut dan dibunuh oleh mereka yang kufur, Allah S.W.T. menganggap pengorbanan itu sebagai suatu syuhada atau jihad kerana mempertahankan agama Allah.
5. Orang yang beramal soleh dan berjihad di jalan Allah akan diberi balasan berlipat ganda seperti satu kaum yang menanam dan menuai hasil tanaman mereka yang keluar berulang-ulang kali.
6. Rasulullah telah memilih minuman untuk baginda iaitu susu berbanding arak yang ditawarkan oleh Jibrail A.S. Ini jelas menunjukkan bahawa susu merupakan minuman yang berkhasiat dan arak pula minuman yang tidak disukai oleh baginda dan juga Allah S.W.T. kerana ia memabukkan dan akan menyesatkan umat Islam daripada mengingati Allah S.W.T.
7. Beberapa tempat yang telah disinggahi oleh Rasulullah untuk mengerjakan solat seperti Madinah, Bukit Tursina dan Masjidil Aqsa adalah tempat yang terpilih dan mulia. Maka jika kita berkesempatan untuk berkunjung ke sana, adalah sunat untuk mengerjakan solat di tempat-tempat tersebut.
8. Allah S.W.T adalah Maha Pengampun lagi Maha Mendengar. Bermula daripada perintah agar umat Islam diwajibkan mengerjakan solat 50 kali sehari semalam, atas permohonan Rasulullah S.A.W. sebagai kekasih-Nya berulang kali (sebanyak 9 kali), Allah S.W.T telah mengurangkannya kepada 5 kali sahaja sehari semalam seperti yang kita kerjakan sehingga hari ini.
9. Surah Al-Fatihah dan Ayat Kursi merupakan ayat-ayat suci Al-Quran yang banyak keberkatannya sekiranya dibaca dan diamalkan di dalam kehidupan seharian. Ini kerana surah ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah S.W.T. kepada Rasulullah S.A.W. semasa mengadap-Nya.
Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Mafhum Firman Allah S.W.T.:"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israa': Ayat 1).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Tips, educate child, teenagers, adults in daily lifestyles.



My blog is worth $0.00.
How much is your blog worth?


HACKER SAFE certified sites prevent over 99.9% of hacker crime.
 
..:: LARANGAN BERSEMBAHYANG DALAM KEADAAN MABUK DAN JUNUB ::..
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) kecuali kamu hendak melintas sahaja hingga kamu mandi bersuci dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun."[Maksud Firman Allah Taala Surah An-Nisa' :43]