Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seseorang berseru mengucapkan salam, ‘Bolehkah aku masuk?’ Tanya si tetamu itu. Apabila puteri Rasulullah, Fatimah az-Zahra membuka pintu. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya, ‘’Maaflah, Ayahku sedang demam, ‘’ Kata Fatimah.
Pintu ditutup dan beliau kembali menemani ayahnya yang sedang terlantar di pembaringan. Rasulullah memandang puterinya itu dan bertanya, ‘Siapakah itu wahai anakku?’’ ‘Tak tahu lah ayah, baru sekali saya melihatnya,’’ Tutur Fatimah lembut. Lalu Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Renungannya cukup sayu seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. ‘Ketahuilah anakku, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatulmaut,’’ Kata Rasulullah menyebabkan Fatimah di timpa kesedihan yang amat sangat.
Fatimah membuka pintu dan malakatulmaut melangkah masuk. Dia datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibrail tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sedang bersiap di atas langit dunia untuk manyambut roh kekasih Allah dan penghulu para anbia itu. Jibril datang mendekati Rasulullah. ‘’Jibril, jelaskan apakah hakku nanti di hadapan Allah?’’ Tanya Rasulullah dengan suara yang lemah. ‘Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu. Semua pintu syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,’’ Jawab Jibril.
Tapi jaminan syurga yang penuh kenikmatan itu tidak sedikit pun membuatkan Rasulullah lega. Renungan matanya masih dibayangi perasaan cemas. ‘Ya Rasulullah, engkau tidak senang mendengar khabar ini?’’ Tanya Jibril. Rasulullah tidak menjawab pertanyaan itu, sebaliknya berkata ‘Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?’. Jawab Jibril, ‘Jangan khuatir, wahai Rasulullah. Aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku, ‘Kuharamkan syurga bagi sesiapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya.’
Deti-detik memilukan semakin dekat, saat Izrail melakukan tugas akhirnya tiba jua. Perlahan roh Rasulullah ditarik. Nampak tubuh baginda bersimbahan peluh, urat-urat lehernya menegang. ‘’Jibril, betapa sakitnya sakaratulmaut ini.’ Kata Rasulullah dengan suara lemah. Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah memejamkan mata, Ali yang disampingnya menunduk ke lantai manakala Jibrail memalingkan muka, tidak sanggup melihat kekasih Allah melalui detik-detik terakhir itu. ‘Jijikkah engkau melihatku, hingga kau memalingkan wajahmu Jibril…’’ Tanya Rasulullah pada malaikat penghantar wahyu itu.‘’Siapakah yang sanggup melihat kekasih Allah direnggut ajal?’ Balas Jibril. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh kerana sakit yang tidak tertahan lagi. ‘Ya Allah, dahsyatnya maut ini, timpakan saja semua seksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku..’’ Kata baginda membuatkan Fatimah, Ali dan Jibril bertambah sayu.
Detik memilukan terus berlalu, badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Di saat yang menggetarkan itu bibir baginda bergerak seakan hendak membisikkan sesuatu. Ali segera mendekatkan telinganya. ‘’uushikum bisshalati, wa maa malakat aimanukum (Peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu),’’ Baginda berbisik. Suaranya kedengaran terlalu perlahan.
Di luar pintu, tangis mula terdengar bersahut-sahutan. Para sahabat saling berpelukan, tidak sanggup kehilangan orang yang paling mereka kasihi. Fatimah menekupkan tangan di muka, Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan. ‘’Ummatii, ummatii, ummati…(umatku, umatku, umatku..),’’ terdengar Rasulullah berbisik hinggalah nafasnya terhenti. Berakhirlah hayat seorang insan yang membawa cahaya.
Baginda meninggalkan dunia ini dengan rasa KASIH dan RISAU terhadap umatnya.
Tanyalah pada diri kita, adakah kita juga mengasihi Rasulullah?
Soalan kedua, adakah kita juga risau terhadap keadaan umat baginda pada hari ini?
0 Comments:
Post a Comment
<< Home