Apa itu Tasauf ?
Tasauf adalah salah satu cabang ilmu dalam Islam. Ia adalah ilmu untuk mendekati atau mengenal Allah SWT iaitu tuhan kita yang satu. Didalam sejarah dakwah Rasulullah SAW pengenalan terhadap Allah SWT atau tauhid amat ditekankan. Rasulullah SAW pernah bersabda "Awwaluddin Ma’rifatullah" yang bermaksud ‘Pokok beragama ialah mengenal/mengakui adanya Allah". Maka disinilah lahirnya ilmu tasauf. Ayat Al Quran tentang tasauf ialah "Alastu bi Rabbikum ? Qaalu balaa, syahidna." Yang bermaksud "Apakah Aku ini (Allah) Tuhan mu? Maka menjawap jiwa (roh), bahkan, Ya kami telah naik saksi". Dua dalil di atas adalah diantara banyak dalil tentang keperluan mempelajari mengenal Allah SWT yang mana rata-rata umat Islam hanya mengenal Allah SWT secara umum tetapi apabila di tanya bagaimana sifat-sifat Allah SWT dan kaitan dengan manusia maka ramai yang tidak tahu. Maka disinilah ilmu tasauf memainkan peranan memperjelaskan perkara yang menjadi tunjang di dalam perkara keimanan sehingga kita berada di dalam liang lahad.
Mengapa kita perlu belajar Tasauf ?
Sepakat alim ulama tasauf mengatakan mempelajari tasauf adalah hukumnya jatuh kepada fardhu kifayah. Kita perlu mempelajari tasauf kerana kita tiada jalan lain untuk mendekati dan mengenal Allah SWT dan lebih lagi ilmu ini adalah dari Rasulullah SAW sendiri maka adalah mustahil untuk kita menolaknya. Intipati ilmu tasauf adalah untuk membersihkan jiwa dari segala sifat kekotoran duniawi dan diisi dengan sifat terpuji. Apabila sifat terpuji telah terserlah dan diisi dengan ilmu mengenal diri ( Ilmu Syariat, Tarikat, Hakikat dan Makrifat) maka jadilah ia insan yang mendapat keredaan Allah SWT yang sanggup menegakkan Kalimah Allah SWT di muka bumi ini. Sejarah membuktikan kebanyakan sahabat-sahabat nabi adalah ahli-ahli tasauf seperti Abu Bakar (Tarikat Naqsabandi) dan Ali (Tarikat Satariah). Apabila telah memperolehi keredaan Allah SWT maka bermacam-macam kelebihan akan diperolehi sehingga menjadi Wali Allah.
Apa itu Tarikat ?
Ramai umat Islam pada hari ini keliru tentang tarikat. Mereka beranggapan tarikat itu adalah sesuatu yang menyelewing seperti tidak sedar diri dan seumpamanya. Tarikat itu adalah bahasa Arab yang bermaksud jalan. Tarikat yang hak ialah berupa zikir-zikir yang berikan oleh guru-guru kepada murid-muridnya. Sama ada kita sedar atau tidak kita telah lama mempraktikkan ini iaitu melalui zikir "Laa Ilaaha Illallah" yang bermaksud Tiada Tuhan melaikan Allah di dalam zikir selepas sembahyang kita. Zikir ini adalah adalah zikir yang dikira umum dan selalu diamalkan oleh para ahli tasauf.
Bagaimana mengenal Guru Tasauf yang benar ?
Dewasa ini tidak dinafikan ramai guru-guru yang mengaku mengajar tasauf tetapi hakikatnya menyeleweng dan mengambil kesempatan dengan berbagai-bagai cara. Oleh itu berbagai fitnah dilemparkan ke atas tasauf dan ini membuatkan pandangan negatif masyarakat terhadap tasauf dan menyebabkan tasauf semakin terpinggir sedangkan tasauf adalah pakaian para wali dan merupakan ajaran Rasulullah SAW. Di tanah Arab lagi menyedihkan dimana keadaan tasauf dilaporkan semakin pupus. Guru yang betul atau mursyid adalah tidak sukar untuk kita kenali. Guru yang betul itu mestilah berpegang kuat pada syariat iaitu sembahyang, puasa, zakat dan haji. Perlakuannya mestilah berlandaskan Al-Quran dan Hadis. Jika kedapatan guru-guru yang tidak berpegang pada syariat hendaklah ditinggalkan.
Kandungan Asas lmu Tasauf
Ilmu tasauf mengajar mengenal kedudukan kita sebagai hamba disisi Allah SWT. Apabila kita adalah hamba maka kita perlu mengenal tuhan kita. Maksud ayat Al-Quran yang disebutkan sebelum ini iaitu pengakuan Roh di hadapan Allah SWT menunjukkan bahawa kita ini telah berjanji didepan Allah SWT di alam Roh untuk mentaati segala suruhannya. Akan tetapi apabila kita dilahirkan di muka bumi ini kita lupa akan janji itu. Maka tasauf berperanan untuk mengingatkan kembali janji-janji itu untuk mempastikan manusia berada dijalan yang benar.
Dengan ayat Al-Quran ini maka tiada jalan lain mengenal Allah SWT adalah dengan ROH. Disebut jua di dalam Al-Quran bahawa Roh adalah sesuautu yang rahsia. Tetapi yang diketahui adalah sifat-sifat Roh seperti jua sifat-sifat Allah SWT. Dengan sifat-sifat Roh ini lah kita akan kenal siapa kita, kaitannya dengan kita dan kita pula akan kenal Allah SWT melalui sifat ini. Kenal Allah SWT bukan mengenal wajah Allah SWT tetapi Roh kita yang telah mengenal Allah SWT. Perkara ini disokong oleh ayat Al-Quran yang disebutkan dalam perenggan ‘apa itu tasauf’ diatas. Ini adalah asas kandungan ilmu tasauf.
Mengapa Tasauf tidak mendapat sambutan dan disalah ertikan ?
Ada banyak faktur yang menyebabkan tasauf tidak mendapat sambutan yang mana diantaranya ialah sistem kehidupan dan pendidikan kita yang menjurus kepada kebendaan, sikap tidak ingin mengambil tahu, kelemahan iman dan sebagainya. Dari apa yang saya ketahui selain dari sebab yang disebutkan tadi sebab utama kita tidak dapat kesempatan belajar tasauf ialah kita tidak mendapat keizinan Allah SWT. Ilmu Tasauf adalah suatu ilmu yang memerlukan kebersihan hati, sabar dan ikhlas dan mereka yang beroleh mempelajarinya adalah dikira bernasib baik kerana telah dipilih oleh Allah SWT. Dan diantara yang berkesempatan mempelajarinya ada yang tidak faham. Ini adalah kerana kefahaman ilmu tasauf adalah dari Allah SWT jua. Ulamak Tasauf yang terkenal iaitu Syeikh Kadir Al Jailani mengambil masa 30 tahun untuk mencapai tahap Wali. Bayangkan adakah kita mampu melakukan untuk berbuat seperti apa yang dilakukan oleh beliau. Oleh itu kita harus terus berdoa kepada Allah SWT agar kita dipilih untuk menguasai ilmu tasauf untuk kita gunakan di dalam menyebarkan sinar Islam di muka bumi Allah ini.
Ringkasan kisah peristiwa Imam Ghazali mempelajari Tasauf
Imam Ghazali memang sudah terkenal di zamannya sebagai ulama biasa iaitu yang arif tentang perkara-perkara syariat. Dengan kehendak Allah SWT jua pada suatu hari ia mengimamkan sembahyang dan diantara para makmumnya ialah adiknya iaitu Imam Ahmad. Imam Ahmad adalah seorang ulama tasauf. Semasa di dalam sembahyang Imam Ahmad telah bertindak untuk keluar dari sembahyang itu dan ini menyebakan Imam Ghazali menanyakan sebabnya pada Imam Ahmad. Imam Ahmad memberitahu bahawa Imam Ghazali tidak khushuk dalam sembahyang dan Imam Ahmad berupaya memberitahu kelemahan Imam Ghazali. Dari saat itu Imam Ghazali telah mempelajari ilmu tasauf hingga berjaya mencapai tahap yang tinggi dan berjasa kepada umat Islam. Imam Ghazali adalah salah satu pelopor mazhab ahli sunnah wal jamaah iaitu mazhab Syafie.
Tasauf di Malaysia.
Saya masih ingat semasa saya masih kecil di kampung saya di Negeri Sembilan disekitar tahun 70an, pengajian tasauf adalah masih aktif. Di tahun 90an pun masih ada sedikit. Saya pernah melihat di kaca TV iaitu Ustaz Harun Din di dalam satu program agama menyatakan bahawa ilmu tasauf adalah ilmu dalam Islam yang paling tinggi. Pendek kata pengajian tasauf masih wujud tetapi tidak mendapat publisiti. Oleh kerana tiadanya publisiti dan pendedahan dari pihak yang bertanggungjawab maka masyarakat semakin tidak mengenali ilmu ini dan seterusnya mengatakannya menyeleweng.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home