Kepercayaan terhadap perkara mistik sukar disisih
Oleh Nasron Sira Rahim
FOBIA terhadap hantu dan perkara mistik yang melanda masyarakat Melayu berlaku sejak pengaruh animisme menyerap beratus tahun lalu dan sesetengahnya terus kekal sehingga kini
Apa pun, bukti kewujudan dan peranan makhluk halus sekitar manusia seperti jin, syaitan dan iblis ada tertera di dalam al-Quran, tapi di kalangan masyarakat Melayu lebih suka menyebut 'hantu' atau 'makhluk halus'.
Pengkaji Kebudayaan Islam, Datuk Dr Amran Kasimin, berkata selain malaikat dan manusia, Allah SWT turut menciptakan jin - ada yang beriman dan kafir. Kumpulan jin kafir dipanggil syaitan dan ketuanya adalah iblis manakala di kalangan orang Melayu, jin yang kafir ini digelar sebagai hantu seperti toyol dan langsuir. Orang bunian juga terdiri di kalangan jin.
Antara ayat al-Quran yang membuktikan kewujudan dan sebab kewujudan mereka adalah menerusi Surah Shad, ayat 79 hingga 81, bermaksud: "(Iblis berkata) Ya Rabbku, berilah penangguhan kepada aku sampai hari mereka dibangkitkan (kiamat). Sesungguhnya kamu (iblis) termasuk orang-orang yang diberi tangguh, sampai kepada hari yang ditentukan waktunya (hari Kiamat)."
Firman-Nya dalam surah lain, bermaksud: "Kerana-Mu (Allah) menghukum saya (iblis) tersesat, saya benar-benar akan (menghalangi) mereka (manusia) dari jalan Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)." (al-A'raf: 16-17).
Dr Amran berkata, setiap jin kafir atau syaitan memiliki nama tertentu bagi menggambarkan tugas mereka antaranya Khanzab bagi syaitan yang mengganggu manusia bersolat, Wilhan (mengganggu manusia berwuduk), Qarin (menemani manusia sepanjang hayat untuk menghasut melakukan kejahatan) selain menggalakkan manusia berzina, menipu dan melakukan dosa.
"Iblis akan hidup hingga kiamat tetapi ada pendapat mengatakan syaitan yang boleh menyerupai suatu objek dengan izin Allah seperti ular dan anjing hitam akan mati apabila manusia membunuh haiwan jelmaan itu," katanya.
Dr Amran berkata, jin juga memiliki perbezaan sesama mereka antaranya ada jin yang boleh terbang, berjalan kaki dan merayap malah jin juga hidup seperti manusia dengan berkahwin dan berkeluarga. Bagaimanapun, ulama berselisih pendapat dalam menentukan dengan tepat ciri-ciri jin.
Katanya, tidak semua jin dapat menyerupai lembaga atau objek tertentu dan mereka yang mampu berbuat demikian hanyalah jin yang mempelajari ilmu untuk melakukan tindakan itu; sama seperti manusia mempelajari ilmu ghaib untuk melihat jin.
"Allah menjadikan jin boleh melihat manusia tapi manusia tidak boleh lihat jin. Akan tetapi manusia yang boleh melihat jin adalah mereka yang mempelajari ilmu mendampingi jin, membela jin untuk dijadikan sahabat, orang yang dibuka hijab pandangan oleh Allah SWT selain mereka yang sakit seperti sakit biasa (deman dan sebagainya).
"Jin boleh mengganggu manusia menerusi roh manusia; jin boleh mengetahui kekuatan roh manusia iaitu ada nur (cahaya iman) atau tidak. Pada satu peringkat lagi, ada jin yang boleh mengganggu fizikal manusia seperti mencakar manusia dan ketika mengubat orang yang diresapi jin, saya pernah lihat perkara seperti itu," katanya.
Jin juga boleh meresapi manusia dan ada Hadis yang menyokong kenyataan berkenaan tetapi tindakan itu kurang berkesan terhadap manusia yang memiliki 'roh yang kuat' hasil amal ibadat dan keimanan yang mendalam.
"Di mana ada pembuluh darah, jin boleh meresap dan tanda orang kena resap adalah dia berasa sakit kaki kerana jin berada di kaki. Apabila sakit kepala, jin berkenaan berada di kepala.
"Jika jin meresap ke dalam nadi darah dalam badan manusia dan jika kita membaca ayat suci al-Quran, tubuh individu yang diresapi akan bergerak dan ia bermakna ada reaksi terhadap urat nadi itu disebabkan bacaan ayat suci," katanya.
Menjawab persoalan bahawa mereka yang bukan Islam juga boleh menghalau jin, Dr Amran berkata tindakan itu berlaku kerana Allah turut mengizinkan permintaan golongan kafir itu.
"(Bacaan Bismillah) Allah Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani; bagi orang kafir Allah tidak mengasihani, sekadar pemurah saja tetapi untuk umat Islam kedua-duanya. Jika seorang kafir minta kepada Tuhan, Allah memerintahkan kepada malaikat supaya menunaikan permintaan itu kerana Allah tidak mahu mendengar suara manusia kafir itu (memohon kepada-Nya)," katanya.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home