..:: Nilai Amalan ::..
Marilah kita mendengar dan mengambil pengajaran daripada maksud satu hadis yang diriwayatkan oleh ulamak hadis di dalam hadis yang panjang; daripada seorang sahabat bernama Abdul Rahman bin Samrah katanya:
Suatu hari Rasulullah SAW datang kepada kami lalu bersabda: malam tadi aku telah bermimpi dengan satu mimpi yang menakjubkan. Aku lihat seorang lelaki di dalam perjalanannya, tiba-tiba diganggu oleh 'Malikil Maut' - malaikat yang menguruskan urusan mati - tiba-tiba datang amalan kebaikannya terhadap ibu bapanya menyelamatkan dia daripada 'Malikil Maut'.
Aku melihat seorang yang diganggu oleh satu rombongan syaitan untuk mengacaunya yang membuatkan dirinya menjadi cemas, tiba-tiba datang amalan zikirnya - amalan mengingati Allah SWT - lalu menghalau dan menyelamatkannya daripada syaitan tersebut.
Aku juga melihat seorang lelaki yang berada di tengah-tengah malaikat azab yang datang untuk membawanya ke neraka, tiba-tiba datang amalan sembahyangnya - yakni sembahyang lima waktu - menyelamatkannya dan membawanya ke tengah-tengah malaikat rahmat lalu dibawa ke syurga. Aku melihat seorang yang terjelir-jelir lidahnya kerana dahaga datang ke kolam 'al Khoudh' untuk meminum airnya, tatapi dia dihalau daripada meminumnya, tiba-tiba datang amalan puasanya membawa air kepadanya lalu dia meminumnya.
Aku lihat nabi-nabi berhimpun bersama pengikutnya masing-masing. Datang seorang lelaki untuk menyertai sama perhimpunan tersebut tetapi dihalau daripada menyertainya. Datang amalan mandi junubnya (mandi hadasnya) lalu membawanya ke dalam majlis tersebut.
Aku juga melihat seorang lelaki berada di dalam kegelapan, kanannya gelap, kirinya gelap, hadapannya gelap dan belakangnya gelap, beliau tidak tahu arah tujuan, tiba-tiba datang amalan haji dan umrahnya membawanya ke dalam cahaya yang meneranginya.
Aku lihat seorang yang diganggu oleh api neraka, dan panas bahang bakar neraka menghampirinya, tiba-tiba datang sedekahnya menyelamatkannya daripada bahang api neraka. Aku lihat seorang yang tidak ditegur oleh sesiapa, dia cuba menghampiri seseorang tetapi tidak dipedulikan, tiba-tiba datang amalan 'silatur rahimnya' - amalan menghubungkan tali persaudaraannya lalu menegurnya dan menghilangkan kesunyiannya.
Aku lihat seorang yang berada di dalam ketakutan menghadapi malaikat 'zabaniah' - malaikat yang menjaga neraka. Datang kepadanya amalan menyuruh perkara baik dan mencegah perkara mungkar yang dilakukannya, lalu menyelamatkannya daripada ketakutan terhadap malaikat zabaniah. Aku lihat seorang yang berjalan dengan lututnya di dalam kesukaran, di hadapannya 'hijab' - dinding, tidak dibenarnya menghadap Allah taala, tiba-tiba datang akhlaknya yang baik menghilangkan 'hijab' tersebut, kemudian dibenarkan bertemu dengan Allah taala.
Aku lihat seorang yang diberikan kitab suratan amalannya melalui tangan kirinya, tidak dibenarnya mengambil dengan tangan kanannya, tiba-tiba datang 'Khouful Allah' - perasaan takutnya terhadap Allah - yang ada di dalam dirinya lalu menolongnya mengambil suratan amalannya dengan tangan kanannya. Aku melihat seorang yang ditimbang amalannya di atas neraca timbangan. Amalan kebaikannya menjadi ringan dan dia di dalam serba salah. Datang kesungguhannya melakukan amalan menyebabkan amalan kebaikannya menjadi berat. Aku melihat seorang terhoyong-hayang hendak jatuh ke dalam neraka, tiba-tiba datang air matanya kerana menangis takutkan Allah menyelamatkannya daripada jatuh ke dalam neraka.
Aku melihat seorang gementar di atas 'titian sirat' yang terbentang di atas neraka, dan dia hampir-hampir jatuh ke dalamnya, tiba-tiba datang 'husnu dzon' - sangka baiknya terhadap Allah - maka hilanglah gementarnya dan selamat melalui 'titian sirat'. Aku melihat seorang merangkak dengan terlalu perlahan di atas sirat, tiba-tiba datang selawatnya ke atasku - ke atas nabi Muhamad SAW - dan menjadikannya kuat untuk berjalan pantas di atasnya. Dan aku melihat seorang yang telah hampir ke pintu syurga tiba-tiba pintu syurga ditutup - lalu datang dua kalimah syahadah yang diucapkan dengan yakin dan percaya menyebabkan pintu syurga dibuka semula dan dia dapat masuk ke dalamnya.
Muslimin sekalian!, Mimpi nabi dan rasul adalah wahyu yang benar daripada Allah taala. Hati mereka bukannya seperti hati manusia biasa. Hati mereka tidak berjaya ditimbusi oleh gudaan syaitan dan hawa nafsu. Maka segala perkhabaran yang disebut oleh Allah taala melalui mimpi nabi dan rasul adalah benar dan wajib dipercayai.
Di dalam hadis yang tersebut di atas, menunjukkan kepada kita bahawa semua amalan soleh yang dilakukan di dunia ada ganjaran yang dijanjikan oleh Allah taala, dan dapat menyelamatkan daripada huru hara di hari akhirat. Semua amalannya yang dilakukan itu pula tidak akan memberi apa-apa guna kepada seseorang sekiranya tidak berakidah dengan akidah islam yang sebenar dan sekiranya menerima ideologi-ideologi dan fahaman-fahaman karut yang tidak diajar oleh Islam.
Dengan berbekalkan akidah yang mantap dan tidak ada kecacatannya, maka segala amalan kebaikan akan dapat dilihat di akhirat. Sebagaimana juga amalan kejahatan, kecil mana pun jika dilakukan akan dilihat di akhirat kelak.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home