Ustaz Muzni bin Hj Borhan Daripada Abu Abbas, Abdullah bin Abbas RA telah berkata : Pada suatu hari sedang saya berada di belakang Nabi SAW (di atas binatang tunggangannya), ujar baginda :
Duhai anak kecil! Sesungguhnya aku akan mengajar engkau beberapa perkataan: peliharalah (perintah) Allah, nescaya Dia akan memeliharamu; peliharalah (kehormatan) Allah nescaya engkau akan merasakan Dia berada bersama-samamu. Jika engkau memohon, pohonlah kepada Allah semata-mata; jika engkau meminta tolong, mintalah hanya kepada Allah. Ketahuilah bahawasanya, jika semua umat manusia berkumpul untuk memberimu suatu manfaat (kebaikan), nescaya mereka tidak akan mampu memberikan manfaat itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditakdirkan oleh Allah. Begitu juga, jika mereka berkumpul lagi untuk menentukan sesuatu mudharat (kecelakaan) untukmu, nescaya mereka tidak akan mampu menentukannya, melainkan dengan sesuatu yang telah ditentukan Allah ke atasmu. Telah diangkat kalam (tulisan) dan telah kering (tinta) buku catatan – Riwayat Tarmizi
Huraian Hadis
'Peliharalah perintah Allah nescaya Allah akan memeliharamu' bermaksud kita sebagai umat Islam hendaklah sentiasa menjauhi segala larangan Allah serta melakukan segala yang diredai-Nya, dan Allah akan memelihara kita dengan melindungi diri kita, anak-anak kita, keluarga serta kerabat kita, di dalam segala urusan agama dan juga dunia. Firman Allah :
Ingatlah kepada-Ku, nescaya aku akan ingat kepadamu – Al Baqarah 152
'Peliharalah kehormatan Allah' pula bermaksud hendaklah kita takut kepada Allah dengan sebenar-benar takut. Jangan sekali-kali melengah-lengahkan perintah Allah, lakukanlah perbuatan yang baik dengan penuh keikhlasan, dan jangan pula kita melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah.
Jika kita dapat mengamalkan kesemuanya, insyaAllah Allah akan memelihara kita dan mendorong kita ke jalan-jalan yang diredai-Nya dengan menaiki tingkat-tingkat yang disediakan untuk para anbia, syuhada', siddiqin, dan muttaqin.
'Jangan memohon selain dari Allah' bermaksud sebaik-baik tempat memohon pertolongan ialah kepada Allah SWT, kerana kemurahan Allah itu tiada batasannya, dan kita dianjurkan supaya sentiasa berdoa kepada Allah.
Seorang ahli sufi, Ibrahim Adham, pernah ditanya orang ramai di pasar Basrah mengenai doa mereka yang tidak dimakbulkan Allah, sedangkan mereka sentiasa berdoa. Jawapan beliau adalah, "Doa kamu tidak dimakbulkan Allah kerana hati kamu telah dibutakan oleh 10 perkara :
Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya
Kamu sangka bahawa kamu cintakan Rasulullah, tetapi kamu tinggalkan sunnahnya
Kamu membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak mengamalkannya
Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukurnya
Kamu telah berkata bahawa syaitan itu musuhmu, tetapi kamu tidak menentangnya
Kamu telah berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal untuknya
Kamu telah berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya
Kamu telah berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia baginya
Kamu bangun dari tidur dan menceritakan segala keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban diri sendiri
Kamu kebumikan mayat-mayat kamu, tetapi kamu tidak mengambil iktibar darinya"
'Allah mentakdirkan yang baik dan yang buruk', iaitu Allah telah menentukan segala kebaikan dan keburukan untuk manusia, sama ada dalam bentuk rezeki, kedudukan, kesihatan, kecantikan tubuh badan, kecerdikan akal, dan sebagainya. Semuanya dilakukan dengan penuh keadilan, kebijaksanaan, dan kerahmatan Allah yang penuh hikmah. Sesungguhnya Allah tidak mungkin menzalimi manusia, tetapi manusia sendirilah yang akan menzalimi dirinya sendiri dengan mengingkari dan menderhaka kepada Allah.
'Telah diangkat kalam (tulisan) dan telah kering (tinta) buku catatan' pula bermaksud semua takdir manusia itu, sejak dari mula ia lahir hingga ke hembusan nafas terakhirnya, segalanya telah ditentukan satu-persatu di dalam luh mahfuz, tidak ada satu pun yang akan berubah. 'Telah diangkat kalam' juga bermaksud tidak akan ada perkara baru yang akan dituliskan lagi sebagai tambahan di dalam buku catatan itu, kerana tinta yang digunakan untuk mencatat ketentuan Allah SWT itu telah pun kering.
Kesimpulan Hadis
Kita diingatkan supaya sentiasa menjaga batas-batas agama, tidak lalai dalam mengingati Allah, memelihara segala perintah Allah, dan menjauhi segala laranganNya, terutama sekali semasa mewah. Kita dianjurkan juga supaya sentiasa berdoa kepada Allah; meminta dan berserah sepenuhnya kepadaNya.
Kita juga diingatkan bahawa segala sesuatu yang terjadi kepada kita sebenarnya sudah pun tertulis di luh mahfuz; jika takdir Allah itu baik, maka haruslah kita bersyukur, dan jika sebaliknya hendaklah kita insaf dan bertaubat.
Wallahu'alam
0 Comments:
Post a Comment
<< Home