Janji. Promise. Baiah. 'Ahd. Punyai satu erti yang sama. Beza cuma pada lafaz bahasa. Siapa yang suka berjanji? Mengapa kita berjanji? Bila kita perlu berjanji? Menyingkap sirah nabawiyah, antara sifat Rasulullah yang terpuji adalah baginda sentiasa menepati janji dan sentiasa menepati waktu. Sifat jujur dan boleh dipercayai adalah sifat baginda sejak sebelum diutuskan menjadi Rasul. Dan kerana itu, baginda dikenali sebagai al-amin (orang yang boleh dipercayai) sehinggakan orang ramai sanggup menyimpan barang kemas dan wang tunai kepada baginda.Di dalam Perjanjian Hudaibiyah, salah satu daripada syaratnya ialah jika seseorang Islam Mekah lari ke Madinah, mereka mestilah dikembalikan ke Mekah. Apabila perjanjian telah ditandatangani, Abu Jandal telah melarikan diri dari penjara Mekah bersama rantai besi yang terikat pada badannya. Semua orang Islam terkejut melihatnya dalam keadaan demikian, tetapi Rasulullah saw bersabda kepadanya, 'Ya Abu Jandal! Bersabarlah, kami tidak dapat melanggar janji kami. Allah akan memberi jalan dengan segera kepada kamu'. Dia kemudiannya kembali ke semula kepada orang Makkah. Nabi Muhammad saw sentiasa mengingati janji baginda terhadap sesiapa sahaja termasuk musuh-musuh baginda. Baginda menepati firman Allah yang bermaksud 'Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpahmu sesudah meneguhkannya, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu'. Surah an Nahl 91.Abdullah bin Abdul Hamsa meriwayatkan bahawa dia membeli suatu barang daripada Rasulullah sebelum baginda menjadi Rasul. Disebabkan ada suatu barang kepunyaan Rasulullah yang harus diberikan, beliau berjanji akan menghantarnya ke tempat baginda. Tetapi Hamsa telah terlupa pada janji itu tetapi ingat semula setelah tiga hari berlalu. Beliau pergi ke tempat Rasulullah saw dan mendapati baginda sedang menunggu kedatangan beliau. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : 'Engkau telah memberi kesusahan yang besar kepadaku. Aku telah menunggu engkau selama tiga hari'. Abdullah bin Amir meriwayatkan sabda Rasulullah saw yang bermaksud : 'Jika engkau mempunyai empat ciri, kedudukan (kekayaan) engkau di dunia tidak akan memberi kesan terhadap kedudukan kamu di akhirat. Dua yang pertamanya ialah boleh dipercayai dan bercakap benar'. Abu Rahman bin Abu Qurad meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : 'Sesiapa yang mahu mencintainya, dia mestilah bercakap benar apabila berkata sesuatu, menepati janji apabila berjanji dan menjadi jiran yang baik' (Mishkat) Pelbagai lagi kisah yang jelas menunjukkan sifat nabi yang sedaya upaya menepati setiap kata yang dilafazkan. Sama ada i'tiqad dalam hati, atau janji pada anak kecil, pada sahabat, kaum keluarga, kontrak perjanjian, dan lain-lain, tuntutan memenuhi setiap lafaz janji adalah sama iaitu - dikotakan sebaik mungkin. Melihat diri kita sendiri, rasanya, agak banyak janji yang telah kita katakan. Kadang-kala kita bernazar pada diri sendiri, berikrar mengikuti jadual yang telah disusun, berjanji satu pertemuan dengan sahabat, bersetuju melaksanakan tugas yang diberi dan sebagainya. Kita berjanji kerana ada impian diri yang hendak dicapai. Kita berjanji kerana tidak mahu menzalimi sesiapa dan sekali gus menyempurnakan hajat seseorang. Kita berjanji kerana kita diutuskan ke dunia dengan ikatan janji.Di dalam undang-undang kontrak (Law of Contract), orang yang mungkir janji boleh disabit dengan kesalahan di bawah akta tersebut. Walaupun ada pengecualian dalam perkara tersebut, pengecualian tersebut tertakluk pada peruntukan yang telah disediakan.Novel Ramli Awang Murshid yang berjudul 'Satu Janji' cukup dramatis bagi mereka yang amat tekad pada tuntutan hati dan impian. Janji pada diri sendiri yang diikrar, tidak mungkin dihalang setelah 1001 usaha dijalankan. Impiannya hampir tidak tercapai, namun, diakhir usahanya, dia bertawakal, dan di situlah bantuan Ilahi pada insan yang itqan memenuhi kehendak hati. Janjinya terlaksana. Kata-kata hukamak berbunyi "Antara hari melafazkan janji, dan hari melaksanakan janji, syaitan ada di antara keduanya."Sebagaimana keputusan syura, ia hanya akan terbatal jika syura bersepakat untuk membatalkan sesuatu keputusan. Begitu juga halnya dengan janji. Sekiranya persetujuan tidak dicapai, mempertahankan keputusan syura - itu adalah perkara yang paling utama. Thabat dalam merealisasikan impian yang diangan-angankan.Hidup ini tidak diciptakan sebagai hiburan dan main-main. Jika tidak mahu memenuhi janji dan tidak mampu menunaikan janji - usah bermain kata. Mungkin kita tidak menzalimi orang lain, tetapi, sedar atau tidak, kita menzalimi diri kita sendiri. Antara ciri orang munafik adalah, apabila berkata dia berdusta, apabila diberi amanah dia tidak menunaikannya dan apabila berjanji dia mungkiri.Wallahu ta'ala 'alam. Semoga kita mampu meneladani nilai murni yang ada pada diri Rasulullah dan berusaha menjadi muslim yang mukmin. Kiriman: Sarah Jumali
0 Comments:
Post a Comment
<< Home