..:: Peristiwa Karbala Dan Hari ASHURA ::..
PERISTIWA KARBALA
Apabila Mu'wiyyah r.a meninggal dunia maka anaknya Yazid bin Mu'awiyyah r.h telah diangkat menjadi penggantinya. Perlantikan Yazid ini telah dipersetujui[bai'ah] oleh majoriti para sahabat Nabi yang masih hidup termasuk para Ahlul Bait serta masyarakat Islam. Namun begitu penduduk Kufah yang rata-ratanya berfahaman Syiah telah menolak kepimpinan Yazid dan ingin melantik Saidina Hussain sebagai khalifah yang baru. Lalu penduduk Kufah termasuk tokoh-tokoh Syiah menulis surat kepada Saidina Hussain menjemput beliau ke Kufah untuk tujuan tersebut. Mereka bukan sekadar berjanji akan taat setia kepada kepimpinan Saidina Hussain malah mereka sanggup untuk menghunus senjata demi membela beliau serta menjatuhkan kerajaan Bani Umaiyah pimpinan Khalifah Yazid. Saidina Hussain memaklumkan khabar berita ini serta niat beliau untuk ke Kufah kepada para sahabat serta ahli keluarga beliau bagi mendengar pandangan mereka.
'Abdullah bin Abbas r.a berkata: "Wahai sepupuku bagaimana anda boleh bersabar sedangkan saya tidak boleh bersabar. Saya bimbang anda akan binasa jika anda meneruskan hasrat anda itu. Penduduk Iraq adalah orang-orang yang suka memungkiri janji. Janganlah anda terpedaya dengan pujukan mereka." – Di nukil dari buku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula karya Prof. Dr. Ibrahim Ali
Sya'wat, diterjemahkan oleh Dr Basri Ibrahim, terbitan Jahabersa, cetakan 2005 Kuala Lumpur, ms. 208.
'Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib pernah menulis kepada Saidina Hussain sepucuk surat. Antara kandungan surat tersebut ialah:
"Saya sangat mengharapkan agar anda benar-benar merenung isi kandungan surat ini. Saya sebenarnya amat kasihan dengan anda kerana bimbang kalau-kalau anda akan binasa dan keluarga anda pula akan terhapus. Jika sekiranya anda binasa hari ini, akan padamlah cahaya bumi. Anda adalah salah seorang tokoh yang menjadi ikutan masyarakat dan harapan orang-orang mukmin. Janganlah anda tergesa-gesa bertolak ke Iraq." – Di nukil daribuku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula karya Prof. Dr.Ibrahim Ali Sya'wat, ms. 209.
'Abdullah bin Jaafar bukan sekadar menghantar surat bertujuan untuk menghalang Saidina Hussain dari meneruskan rancangannya untuk ke Kufah, malah beliau juga telah meminta 'Amru bin Sa'id, Gabenor Khalifah Yazid di Makkah untuk memujuk Saidina Hussain agar membatalkan hasratnya tersebut. Namun begitu Saidina Hussain tetap berkeras untuk berangkat ke Kufah. Mungkin timbul persoalan di benak hati para pembaca tentang kenapa para sahabat serta ahli keluarganya membantah niat beliau untuk ke Kufah. Maka di sini penulis senaraikan beberapa sebab berkaitan dengan bantahan tersebut:
1) Mereka dapat menghidu helah golongan Syiah di Kufah yang sememangnya terkenal dengan pengkhianatan mereka terhadap Umat Islam. Mereka inilah kelompok yang telah menyokong 'Abdullah Ibnu Saba', terlibat dalam pembunuhan 'Uthman bin 'Affan r.a, mengkhianati Saidina 'Ali serta abang Saidina Hussain yakni Saidina Hassan r.a. Mereka berpandangan sokongan kuat yang menurut khabarnya datang dari penduduk Kufah hanyalah palsu dan tindakan mereka ini merupakan dalih mereka untuk menimbulkan susana kacau-bilau di dalam masyarakat Islam.
2) Yazid bin Mu'awiyyah adalah seorang khalifah yang telah dibai'ah oleh majoriti umat Islam, dikalangan para sahabat-sahabat utama dan juga ahli keluarga Rasulullah s.a.w.. Maka dari sisi syarak perlantikan beliau sebagai khalifah adalah sah. Terdapat larangan dari Rasulullah s.a.w. untuk memberontak terhadap pemerintah yang telah dilantik umat Islam secara sah.
Daripada 'Abdullah bin 'Amr bahawa Rasulullah s.a.w.bersabda:
Sesiapa telah mengangkat [telah bersetuju melantik]seorang pemimpin kemudian memberikan kepadanya uluran tangannya dan buah hatinya[sebagai tanda persetujuan] , maka hendaklah dia [orang yang mengangkatnya] mentaatinya sedaya mungkin. Makajika datang orang lain yang menentangnya, hendaklah mereka membunuh yang terakhir[penentang] .
Aku ['Abdul Rahman bin 'Abdi Rabbil Kaabah] bertanya [kepada 'Abdullah bin 'Amr]: Apakah kamu mendengar ini dari Rasulullah s.a.w.?
Dia ['Abdullah bin 'Amr] menjawab: Aku mendengar[hadis ini] dengan kedua telingaku dan difahami oleh hatiku. – Hadis Riwayat Imam AbuDawud, no: 3707.
Ada pula yang beranggap bahawa Khalifah Yazid tidak memilki ciri-ciri kepimpinan yang baik serta beberapa tuduhan tentang sifat-sifat buruk juga telah dilemparkan terhadapnya. Jika tuduhan ini benar sekalipun Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan umatnya untuk tetap taat kepada pemerintah yang pada zahirnya masih Islam walaupun dia seorang yang zalim. Sabda Rasulullah s.a.w:
Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu. Kamu mendoakan mereka, mereka pula mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu membenci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat mereka, mereka juga melaknat kamu.
Baginda ditanya: "Tidak bolehkah kami perangi mereka dengan pedang?"
Jawab Baginda: "Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang dikuasai penguasa, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat kepada ALLAH, dia hendaklah membenci maksiat tersebut namun jangan mencabut tangan dari ketaatan."- Hadis riwayat Imam Muslim no.1855.
Oleh itu mereka membantah niat Saidina Hussain untuk menyertai malah mengepalai pemberontakan penduduk Kufah tersebut
3) Mereka juga khuatir tindakan Saidina Hussain ini akan menimbulkan pertumpahan darah sesama umat Islam dan akan melemahkan persatuan umat.
4) Mereka bimbang akan keselamatan Saidina Hussain dan ahli keluarganya yang berkemungkinan akan dkhianati oleh penduduk Kufah atau diserang oleh tentera Khalifah Yazid.
Ternyata pujuk rayu mereka gagal untuk menghentikanh asrat beliau untuk ke Kufah. Kenapa agaknya Saidina Hussain tetap berkeras untuk ke Kufah? Jawapan Saidina Hussain adalah seperti berikut:
Saya telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan saya telah melakukan sesuatu yang telah ditentukan kepada saya tanpa mengira ia mendatangkan keburukan kepada diri saya atau memberikan keuntungan kepada saya.
Lalu 'Abdullah bin Yahya berkata: Apakah mimpi andaitu?
Jawab al-Hussain: Saya tidak dapat menceritakannya kepada seseorangpun, malah saya tidak boleh memberitahu kepada seseorangpun sehingga saya bertemu dengan Tuhan saya – Rujuk Tarikh al-Umam waal-Muluk, jilid 4, ms. 388. Penulis nukil dari buku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta SejarahYang Perlu Diperbetulkan Semula karya Prof. Dr.Ibrahim Ali Sya'wat, ms. 270.
Sebenarnya sikap Saidina Hussain ini memiliki persamaan dengan 'Uthman bin Affan. Ketika rumah 'Uthman dikepung oleh para pemberontak, para sahabat serta umat Islam telah menawarkan bantuan untuk menghancurkan kepungan tersebut. Namun 'Uthman menolak pelawaan tersebut demi untuk mengelak pertumpahan darah sesama umat Islam. Namun demikian motivasi sebenar 'Uthman adalah hadis Rasulullah s.a.w yang mengkhabarkan bahawa beliau akan mati syahid.
Dari Qatadah, bahawa Anas r.a menceritakan kepada mereka, dia berkata: Nabi s.a.w. mendaki gunung Uhud bersama Abu Bakar, 'Umar, serta 'Uthman. Tiba-tiba Uhud bergoncang. Baginda bersabda: Tenanglah wahai Uhud – aku kira baginda memukulnya dengan kakinya – tak ada diatas mu kecuali seorang Nabi, Shiddiq dan dua syahid.– Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 3697.
Ternyata al-Shiddiq itu gelaran bagi Abu Bakar r.a manakala 'Umar telah syahid ketika menjadi khalifah, maka 'Uthman berpendapat bahawa seorang lagi yang bakal syahid menurut sabda Rasulullah s.a.w. tersebuta dalah beliau sendiri. Itulah sebabnya ketika pemberontak menyerbu rumah 'Uthman, beliau tetap menghalang para sahabat yang ada di situ untuk membantunya lalu berkata:
Saya bersabar menghadapi janji yang telah dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada saya. Saya akan berhadapan dengan kematian saya sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.. – rujuk Tarikh al-Umam wa al-Muluk karya Imam al-Tabari, ms.391-392. Penulis nukil dari buku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula karya Prof. Dr. Ibrahim AliSya'wat, ms. 265.
Malah al-Tabari juga melaporkan bahawa 'Uthman tidak menghalang pemberontak untuk membunuhnya kerana:
Uthman telah bermimpi pada malam kejadian, Nabi s.a.w. datang menemuinya dan berkata kepadanya: Saya harap anda dapat berbuka bersama dengan kami pada malam ini. – Tarikh al-Umam waal-Muluk, jilid 4. ms. 383. Penulis nukil dari buku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula karya Prof. Dr.Ibrahim Ali Sya'wat, ms. 265.
Tentang syahidnya 'Uthman dan Saidina Hussain maka Prof. Dr Ali Sya'wat berkata:
Tidakkah pembaca bersama dengan penulis yang pendirian yang diambil oleh al-Hussain adalah sama dengan pendirian yang diambil oleh 'Uthman bin'Affan? Keduanya melihat kematian sebagai sesuatu yang sudah pasti berada dihadapannya. Keduanya juga telah dinasihati oleh keseluruhan orang-orang yang ikhlas yang berada disamping mereka.- Rujuk buku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula karya Prof. Dr. Ibrahim Ali Sya'wat, diterjemahkan oleh Dr Basri Ibrahim, terbitan Jahabersa, cetakan 2005 Kuala Lumpur, ms. 271.
Apabila mendengar pergerakan rombongan Saidina Hussain ke Kufah maka Yazid memerintahkan gabenor beliau diBasrah iaitu Ubaidullah bin Ziyad serta tenteranya untuk berangkat ke Kufah bagi memantau pergerakan Saidina Hussain serta kebangkitan orang-orang Kufah. Tindakan Yazid bukanlah sesuatu yang sukar untuk difahami bagi mereka yang arif dalam bidang politik. Mana-mana pemimpin pasti akan berwaspada sekiranya terdapat ura-ura bahawa pemberonta akan bakal terjadi dan ianya bukan sahaja boleh menggugattampuk pemerintahannya malah akan menggugat kestabilan politik umat Islam pada masa itu. Harus kita semua fahami bahawa arahan dari Yazid hanyalah untuk memantau atau memerhatikan sahaja pergerakan Saidina Husain dan penduduk Kufah tersebut dan tindakan hanya perlu diambil sekiranya mereka terlebih dahulu memulakan serangan. Namun begitu Ubaidillah bin Ziyad telah bertindak berlebihan dari arahan sebenar Yazid lalu menyerang Saidina Hussain dan rombongannya di Karbala. Tidakan Ubaidillah bin Ziyad hanyalah bertujuan untuk menunjukkan kehebatannya serta mengampu khalifah. Apa yang menghairankan adalah tindakan penduduk Kufah yang kononnya sanggup untuk berkorban jiwa dan raga untuk mengangkat Saidina Hussain sebagai Khalifah serta menjatuhkan Yazid telah melarikan diri apabila melihat kemaraan tentera Ubaidillah bin Ziyad. Maka terpaksalah Saidina Hussain dan rombongannya yang hanya berjumlah sekitar 70 orang berhadapan dengan tentera Ubaidillah yang jauh lebih besar jumlahnya dari mereka. Mana pergi penduduk Kufah yang dikatakan terdapat sejumlah 12,000o rang yang telah bersiap sedia untuk menerima Saidina Hussain? Sekiranya 12,000 penduduk Kufah yang jumlah tersebut sebenarnya adalah jauh lebih besar dari tentera Ubaidillah mempertahankan Saidina Hussain kemungkinan besar tentera Ubaidillah akan dapat ditewaskan. Namun demikian ini hanya membuktikan bahawa penduduk Kufah memang pada asalnya tidak memiliki niat untuk menaikkan Saidina Hussain sebagai Khalifah. Perkara ini sebenarnya adalah sebahagian dari agenda kelompok Syiah untuk menimbulkan fitnah dikalangan umat Islam iaitu dengan melaga-lagakan Saidina Hussain dengan Yazid. Maka syahidlah Saidina Hussain di Karbala. Hal ini membuatkan Yazid sendiri begitu sedih serta marah dengan tindakan yang telahdi ambil oleh Ubaidillah bin Ziyad itu. Beliau juga telah diriwayatkan telah memberi perlindungan kepada ahli keluarga Saidina Hussain yang terselamat dari serangan tentera Ubaidillah sehinggalah mereka kembali ke Madinah. Justeru itu dapat kita fahami bahawa kisah Karbala versi Syiah yang menyatakan Yazid adalah pembunuh sebenar Saidina Hussain malah kononnya Yazid telah menyuruh kepala Saidina Hussain dipenggal untuk diserahkan kepadanya adalah tidak benar sama sekali. Pihak yang sebenarnya bertanggungjawab di atas kematian Saidina Hussain adalah golongan Syiah diKufah dan juga sikap berlebih-lebihan yang telah diambil oleh Ubaidillah bin Ziyad. Malah 'Abdullahibnu 'Umar seorang sahabat Nabi yang besar kedudukannya bahkan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda tentang beliau: Sesungguhnya 'Abdullah [Ibnu 'Umar] adalah seorang lelaki yang soleh [rujuk hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 3740] telah mempertanggungjawab kan penduduk Kufah atas kematian Saidina Hussain. Dari Abdul Rahman bin Abi Na'm diaberkata:
Aku melihat (Abdullah) Ibn 'Umar ditanya oleh seorang lelaki berkenaan hukum darah lalat. Ibn 'Umar bertanya: Kamu berasal dari mana?
Lelaki itu menjawab: Aku daripada orang-orang Iraq.
Lalu Ibn 'Umar berkata: Lihatlah orang ini, diabertanya kepada aku berkenaan darah lalat padahal mereka (orang-orang Iraq) membunuh cucu Nabi s.a.w.. Aku mendengar Nabi s.a.w. bersabda: Mereka berdua (Hasan dan Husain) adalah penyejuk hatiku di dunia. – Hadis riwayat Imamal-Bukhari, no: 5994.
Malah Saidina Hussain sendiri telah menyalahkan penduduk Kufah di atas peperangan berat sebelah yang terpaksa beliau hadapi apabila menentang tentera Ubaidullah. Telah diriwayatkan bahawa ucapan beliau yang terakhir sebelum terbunuh di Karbala adalah:
Ya Allah, berilah putusan di antara kami dan di antara orang-orang yang mengajak kami untuk menolong kami, namun ternyata mereka membunuh kami. – Rujuk buku Pengkhianatan Pengkhiantan Syiah Dan Pengaruhnya Terhadap Kekalahan Umat Islam karya Dr. Imad Ali Abdus Sami', Pustaka Al-Kautsar, Jakarta 2006, ms. 35-36.
SAMBUTAN HARI ASHURA DAN KAITANNYA DENGAN PERISTIWA KARBALA
Justeru itu rentetan dari peristiwa Karbala ini timbul dua golongan yang menyambut hari Asyura secara ekstrem.
Golongan pertama : Mereka tediri dari pengikut Syiahal-Rafidhah yang telah menjadikan tarikh 10 Muharam setiap tahun sebagai hari untuk berkabung dan menujukkan kesedihan demi untuk memperingati kematian Saidina Hussain ini. Ketika menyambut hari Asyura mereka telah memperlihatkan perbuatan-perbuatan umat jahiliah seperti memukul wajah serta tubuh badan mereka sehingga berdarah, menyiksa diri, berteriak serta menangis menunjukkan kesedihan dan merobek-robek pakaian mereka. Keadaan sebegini masih diamalkan oleh penganut fahaman Syiah seperti di Iran, Iraq, Pakistan dan lain-lain tempat lagi. Ternyata perbuatan ini amat bertentangan dengan hukum syarak kerana apa yang diperintah oleh Allah S.W.T apabila ditimpa musibah adalah untuk bersabar. Ini sebagaimana firman-Nya:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu)orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjukhidayah-Nya. – al-Baqarah [2] : 155-157
Perbuatan meratap serta menyiksa diri sendiri apabila ditimpa musibah telah dicela oleh syarak sebagaimana hadis-hadis di bawah.
Nabi s.a.w. bersabda:
Bukan golongan kami orang yang memukul pipi, merobek pakaian dan berdoa dengan doa-doa jahiliah. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 1294
Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda:
Saya tidak bertanggungjawab kepada orang yang ditimpa musibah lalu menangis dengan suara yang keras[berteriak-teriak] atau menggondolkan rambutnya atau merobek bajunya. – Hadis riwayat Imam Muslim, no: 104.
Golongan Syiah ini juga telah memperhebatkan lagi celaan mereka kepada para Sahabat Nabi pada Hari Asyura. Mereka juga membacakan syair-syair serta hikayat-hikayat palsu menceritakan tentang peristiwa Karbala. Apa yang menghairankan adalah terdapat seorang tokoh sasterawan tempatan yang menyanjung nilai-nilai sastera golongan Syiah berkaitan peristiwa Karbala ini. Di mana letak akalnya yang sihat tatkala menganggap kisah-kisah palsu sebagai sesuatu bentuk penulisan yang memilki nilai kesasteraan yang tinggi?Masih terdapat banyak lagi perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak dilakukan oleh kelompok Syiahini pada Hari Asyura.
Golongan ke dua : Golongan ini pula menyambut hari'Asyura sebagai satu hari perayaan yang penuh dengan kebahagian. Mereka ini pula terdiri kelompok yang memusuhi golongan Syiah al-Rafidhah yang digelar Nawashib. Kelompok ini terdiri dari golongan Ahlu Sunnah yang jahil, mereka yang memusuhi Saidina 'Aliserta ahli keluarganya, penjilat kerajaan Bani Umaiyah serta mereka yang membenci golongan Syiah al-Rafidhah dan menterjemahkan kebencian mereka itu dengan melakukan sesuatu yang berlawanan dengan golongan Syiah iaitu menunjukkan kegembiraan pada hari Asyura. Mereka menyambut Hari Asyura bagaikan suatu pesta, menghias bandar-bandar mereka dengan indah, memasak makanan-makanan tertentu lalu bersedekah kepada orang ramai, menyediakan makanan yang lazat-lazat dan lain-lain lagi upacara yang mencerminkan ianya suatu hari untuk bergembira seperti Hari Raya. Perbuatan kelompok ini juga bertentangan dengan syarak apatah lagi sekiranya ianya dilakukan bersempena dengan hari terbunuhnya Saidina Hussain, cucu kepada Rasulullah s.a.w. yang merupakan pemimpin kepada para pemuda yang menghuni syurga. Wajarkah suasana yang gembira dihubung-kaitkan dengan satu peristiwa hitam dalam sejarah umat Islam yang mengakibatkan syahidnya seorang yang memiliki keutamaan serta kedudukan yang tinggi bagi masyarakat Islam? Apatah lagi tidak pernah ada contohnya dari Rasulullah s.a.w. untuk menyambut Hari Asyura seperti hari perayaan yang besar malah para sahabat, para salafuss oleh serta Imam-Imam mazhab yang empat juga tidak pernah menganjurkan sambutan yang pelakunya dihumban ke dalam neraka. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Aku wasiatkan kepada kalian agar bertakwa kepada Allah, mendengar nasihat dan mentaatinya. Sesungguhnya manusia itu berkelompok- kelompok, siapa yang akan hidup di antara kalian kelak akan melihat adanya banyak perbezaan pendapat. Maka hendaklah kalian berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah para Khulafa al-Rasyidin. Berpegang teguhlah kepadanya dan peganglah ia erat-erat. Jauhilah segala perkara yang baru kerana setiap perkara yang baru itu adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat.– Hadis riwayat Imam Abu Dawud, no:3991.
Jika kedua-dua cara menyambut hari Asyura seperti diatas adalah suatu bentuk kesesatan dalam agama maka apakah yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam pada Hari Asyura?
HARI ASYURA DAN AMALAN-AMALAN SUNNAH BERKAITAN DENGANNYA
Terdapat begitu banyak kisah-kisah yang telah dihubung-kaitkan dengan Hari Asyura namun sebenarnya ia tidak memiliki sandaran yang kukuh. Baru-baru initelah disebarkan kononnnya terdapat banyak kisah-kisah penting yang terjadi kepada para Nabi dan Rasul serta perkara-perkara berkaitan kejadian alam oleh Allah S.W.T. berlaku pada tanggal 10 Muharam. Peristiwa-peristiwa tersebut adalah:
1) Nabi Adam a.s bertaubat kepada Allah.
2) Nabi Idris a.s diangkat oleh Allah ke langit.
3) Nabi Nuh a.s diselamatkan oleh Allah dari banjir besar dengan bahteranya setelah bumi ditenggelami air selama 6 bulan. Setelah itu beliau kononnya telah menyediakan bubur untuk dimakan bersama kaumnya. Melalui peritiwa inilah berpuncanya adat memasak bubur Asyura setiap kali muncul 10 Muharam.
4) Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan dari dibakar oleh Raja Namrud.
5) Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s.
6) Nabi Yusuf a.s dibebaskan dari penjara.
7) Penglihatan Nabi Yaakub a.s yang kabur dipulihkan.
8) Nabi Ayub a.s dipulihkan dari penyakit kulit yang dideritainya
9) Nabi Yunus a.s selamat keluar dari perut ikan pausse telah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
10) Laut merah terbelah dua untuk menyelamatkan NabiMusa a.s dan pengikutnya dari tentera Fira'un.
11) Kesalahan Nabi Daud a.s diampuni Allah.
12) Nabi Sulaiman a.s dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
13) Nabi Isa a.s diangkat ke langit.
14) Hari pertama Allah menciptakan alam.
15) Hari pertama Allah menurunkan rahmat.
16) Hari pertama Allah menurunkan hujan.
17) Allah menciptakan 'Arasy.
18) Allah menjadikan Luh Mahfuz.
19) Allah menciptakan Malaikat Jibril.
Ternyata cerita yang sah berkaitan dengan Hari Asyura hanyalah peristiwa Nabi Musa a.s diselamatkan dari tentera Fir'aun. Ini adalah kerana kesahihan kisah tersebut berlaku pada hari Asyura telah diperakui oleh Rasulullah s.a.w. sendiri sebagaimana yang terdapat didalam Shahih al-Bukhari:
Nabi s.a.w. datang ke Madinah, dan dilihatnya orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Menurut mereka: Ini hari baik di saat mana Allah membebaskan Nabi Musa dari Fir'aun. Maka sabda Nabis.a.w.: "Kamu lebih berhak terhadap Musa daripada mereka maka berpuasalah. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4680.
Oleh itu sewajarnya kita tidak menghubung kaitkan apa-apa peristiwa berkaitan hari Asyura melainkan terdapat dalil yang sah dari hadis-hadis Nabi s.a.w.. Melalui hadis di atas ini juga dapat kita fahami bahawa amal ibadah khusus sempena hari Asyura yang diiktiraf oleh Rasulullah s.a.w. adalah ibadah puasa. Ternyata berpuasa pada hari Asyura ini memiliki kelebihan atau fadilat yang begitu besar.
Ibnu 'Abbas r.a pernah ditanya mengenai masalah berpuasa pada hari Asyura, beliau menjawab: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. berpuasa sehari pada hari Asyura untuk mencari kelebihan atau fadilat yang tidak ada pada hari-hari selain hari ini… - Hadis riwayat Imamal-Bukhari, no: 2006.
Berpuasa pada hari Asyura juga dapat menghapuskan dosa-dosa kita pada tahun sebelumnya. Ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:
Puasa tiga hari dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya. –Hadis riwayat Imam Muslim, no: 1163.
Allah S.W.T juga mengurniakan taufik-Nya kepada mereka yang berpuasa pada hari Asyura. Dari Ibnu 'Umar r.a, dia berkata:
…Tidaklah seorang hamba berpuasa di dalamnya [hariAsyura] kecuali puasanya akan memberikan taufik kepadanya – Hadis riwayat Imamal-Bukhari, no: 1892.
Disunnahkan juga untuk menambahkan puasa pada hari Asyura tersebut dengan berpuasa sehari sebelum ataupun sehari sesudahnya. Rasulullah s.a.w. memerintahkan hal ini bertujuan untuk menyelisihi amalan orang Yahudi. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berselisihlah dengan orang Yahudi di dalamnya, dan berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya. – Hadis riwayat Imam Ahmad, no: 2047.
Rasulullah s.a.w tidak pernah memerintahkan amalan-amalan ibadah lain untuk dikhususkan sempena hari Asyura melainkan ibadah berpuasa sebegini sahaja. Oleh itu sebaik-baiknya kita berusaha untuk mengamalkan sunnah Nabi s.a.w. ini.
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus
0 Comments:
Post a Comment
<< Home