Apabila melakukan maksiat dan dosa berulang kali. Terlalu kerap melakukan kesalahan menjadikan seseorang itu merasakan kesalahan sebagai suatu kebiasaan. Sehingga pada suatu ketika individu itu semakin sukar meninggalkan kesalahan tersebut. Hasil daripada kebiasaan tersebut pula menyebabkan hilang rasa bersalah ketika melakukan kesalahan atau dosa. Akibatnya, seseorang menjadi semakin berani melakukan dosa dan kesalahan yang berikutnya. Anas RA pernah berkata :
"Demi Allah, nescaya kamu melakukan suatu dosa yang kamu anggap dosa itu lebih nipis dari rambut. Sedangkan kami dahulu menganggap perbuatan tersebut termasuk dalam `maubiqat' (dosa besar). "
Rasulullah SAW bersabda: "Setiap umatku akan dimaafkan kecuali orang yang (berani) melakukan dosa secara terang-terangan. " (HK. Bukhari).
Apabila merasakan kekerasan dan kebekuan hati.
Kekerasan hati laksana batu keras yang tak dapat diubah atau dipengaruhi oleh kejadian-kejadian di sekitarnya serta sukar menerima teguran dan nasihat.
Apabila diri merasakan kesukaran untuk tekun dalam beribadah. Seperti sukar untuk khusyuk dalam solat, ketika berzikir, membaca al-Qur'an dan berdoa.
Apabila timbul rasa malas melakukan amal ketaatan dan ibadah. Atau merasa cenderung untuk meremehkan amalan dan ibadahnya. Contohnya enggan atau meremehkan kehadiran solat berjamaah atau menunaikan solat di awal waktu. Ketika dia menunaikan amal ibadah, ia hanya merupakan aktiviti yang kosong dari roh. Allah SWT menyifatkan orang munafiq dalam firman Nya: `Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. " (QS. an-Nisaa':142).
Apabila perasaan cepat dilanda gelisah. Malah dada begitu terasa menyesak laksana orang yang sedang menghadapi masalah berat yang menghimpit, sedangkan masalah dihadapi hanyalah masalah yang remeh saja. Juga rasa tidak tabah dan `pucat lesi' ketika menghadapi musibah atau cubaan.
Apabila suasana jiwa yang tak tersentuh dengan kandungan ayat suci al Qur'an. Sama ada ayat itu berupa janji, ancaman, perintah, mahupun larangan. Timbulnya sikap malas untuk mendengar dan menyemak al-Qur'an, apatah lagi membacanya.
Apabila lalai atau malu mengamalkan zikir. Dengan alasan zikir adalah suatu yang sukar malah merasakannya sebagai amalan yang berat. Firman Allah SWT: "Dan, mereka tidak menyebut-Allah kecuali hanya sedikit sekali." (QS. an-Nisaa:142)
Apabila berkurangnya rasa marah atau tidak terusik langsung hati untuk merasa marah tatkala melihat kemungkaran atau perlanggaran peraturan dan hukum yang diharamkan Allah SWT. Berkurangnya rasa cinta atau lenyap sama sekali kecintaan terhadap perbuatan ma'ruf dan keta'atan. Atau dengan kata lain, segala permasalahan di anggap sama, sehingga tak terdetik dalam hati untuk melarang kemungkaran atau menganjurkan kebaikan. Sesiapa yang dilanda kemalasan ini adalah seseorang yang enggan untuk aktif dalam dakwah Islam.
Apabila menilai sesuatu hanya dari segi perkara tersebut itu dosa atau tidak sahaja dan tidak melihat dari sudut perbuatan yang makruh. Kebanyakan orang apabila ingin melakukan perbuatan, ia bertanya adakah perbuatan tersebut dosa atau tidak? Ini merupakan sesuatu yang baik. Namun yang lebih baik adalah bertanya dengan soalan "Adakah perkara tersebut haram atau makruh ?" kerana perkara yang makruh akan menyeret seseorang kepada perkara syubahat. Sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim "Barangsiapa yang terjerumus dalam syubahat, bererti ia berada dalam yang haram.
Apabila kurang memberi perhatian terhadap urusan atau hal ehwal umat Islam. Tidak pernah atau tidak mahu mendoakan saudara seIslam mereka apatah lagi mengeluarkan infaq (sumbangan/perbelanjaan) untuk mereka. Perasaannya begitu dingin dan 'beku', ketika menyaksikan permasalahan umat Islam yang sedang dikuasai musuh, ditindas, dizalimi, diseksa dan sebagainya. Malah merasa bersyukur dan gembira kerana tidak tertimpa musibah tersebut. Tidak pernah prihatin atau tidak pernah mahu bersusah payah berjuang untuk mengatasi keadaan umat Islam juga merupakan suatu petunjuk atau indikasi ketiadaan rasa tanggung jawab terhadap agama.
Secara jelas Rasulullah SAW telah bersabda antara lain "Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia mencintai saudaranya apa yang ia cintai buat dirinya" malah dalam hadis baginda yang lain pula : "Seorang muslim adalah saudara muslim, tidak boleh menzalimi dan tidak boleh membiarkannya tidak menolongnya. Barangsiapa yang memerhatikan keperluan saudaranya maka Allah memerhatikan keperluannya. Barangsiapa melepaskan kesusahan saudaranya, maka Allah akan melepakan kesusahannya di hari Kiamat.. ... "
Apabila cenderung memperbanyakkan perdebatan dan menjauhi urusan amal. Perdebatan yang berlebihan atau berbantah-bantah yang terlalu kerap ditambah pula tanpa hujah yang benar dan tepat, atau tanpa pengetahuan dan dalil yang jelas justeru menjadikan hati menjadi keras dan beku. Malah yang lebih menakutkan adalah sebagai sebab munculnya benih-benih perpecahan.
Apabila terlalu memerhatikan urusan dunia berbanding urusan akhirat. Keadaan terlalu memerhatikan urusan dunia hingga berlebih-lebihan dalam memerhatikan diri sendiri, baik dalam masalah makan, minum, pakaian, kenderaan, tempat tinggal dan sebagainya.
Apabila menghindar atau memisahkan diri dari persekitaran persahabatan dengan orang-orang baik. Muncul rasa tidak selesa atau kurang enak apabila berada di dalam suasana dan persekitaran orang-orang yang berjuang di jalan Allah.
Dipetik dari buku "Ubat Lemahnya Iman"; Muhammad Sholih al-Munajjid dan dari beberapa sumber lain
0 Comments:
Post a Comment
<< Home