..:: Zikir Selepas SOLAT ::..
Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring.”(surah an-Nisa’:103).
Allah mengajar umat Islam sembahyang ketika peperangan iaitu mengikut situasi yang ada sehingga tidak perlu mengikut rukun dan adab sembahyang sepenuhnya. Mereka boleh mengerjakan sembahyang dalam keadaan berlari, meniarap dan sebagainya.
Bagaimanapun selepas mengerjakan solat, jangan pula mereka lupa berzikir, mengingati Allah kerana dengan mengingati Allah, hati mereka tenang dan tabah menghadapi musuh serta mendapat pertolongan dari Allah SWT.
Sementara itu, Rasulullah SAW mengajar umatnya beristighfar selepas solat sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali. Diriwayatkan selepas sembahyang, Rasulullah SAW menyebut zikir yang bermaksud: ”Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dalam keadaan Esa-Nya dan tiada sekutu bagiNya. Bagi-Nyalah sahaja kerajaan(kekuasaan) dan kepujian. Sementara Dia berkuasa keatas tiap-tiap sesuatu.”
Setengah riwayat pula menambah zikir yang bermaksud : ”Dialah yang menghidup dan mematikan sesuatu dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu.”
Zikir ini pula dibaca sebanyak 10 kali. Ada yang mengatakan selepas solat maghrib, disebut doa yang bermaksud : ”Ya Allah, hindarkanlah aku dari seksaan api neraka,”-sebanyak 7 kali sebagaimana dinyatakan oleh al-Bukhari di dalam kitah Sahihnya. Begitu juga doa itu dibaca selepas solat suboh sebanyak itu.
Rasulullah SAW menyebut barang siapa menyebut doa berkenaan 7 kali selepas maghrib kalau ditakdirkan mati pada malam itu dia dijauhkan dari api neraka. Demikian juga barang siapa membacanya 7 kali selepas solat suboh, jika ditakdirkan mati siang hari itu, Allah menjauhkannya dari api neraka.
Selepas solat Rasullah SAW juga menyebut doa yang bermaksud : ”Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Sejahtera, dari Engkaulah datangnya kesejahteraan itu, dan kepada Engkau juga dikembalikan kesejahteraan itu, maka hidupkanlah kami, Wahai Tuhan kami dalam keadaan penuh kesejahteraan. Masukkanlah kami kedalam syurga, negeri yang penuh kesejahteraan. Maha Suci Engkau, wahai Tuhan kami, Maha Tinggi Engkau wahai Tuhan yang mempunyai ketinggian martabat dan kemuliaan yang tidak terhingga.”
Disebut juga Rasulullah SAW membaca Fatihah dan ayat Kursi selepas solat. Disebut dalam hadis sahih yang bermaksud : ”Sesiapa yang membaca ayat Kursi selepas sembahyang tiada yang menghalangnya dari memasuki syurga melainkan dia masih hidup.”
Ayat Kursi itu bermaksud : “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang tetap hidup, yang kekal selamanya, mentadbirkan (sekelian makhluknNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan bumi.
“Tiada sesiapa yang dapat memberi sytafaat pertolongan di sisi-Nya) melainkan dengan izinNya. Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada dibelakang mereka, sedangkan mereka tidak mengetahui sesuatupun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya dan Dialah Yang Maha Tinggi, Lagi Maha Besar.” (Surah al-Baqarah:255).
Semoga kita semua akan diredhai dan diberkati oleh Allah SWT. Amin.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home