Hidup, Amal & Akhir HayatKu Untuk ALLAH s.w.t.

RENUNGILAH... HARGAILAH SEBUAH PERSAHABATAN KERANA DISEBALIKNYA TERSIMPUL SEGALA-GALANYA… Satu-satunya cara agar kita memperolehi kasih sayang, ialah jangan menuntut agar kita dicintai, tetapi mulailah memberi kasih sayang kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan. (Dale Carnagie)

Tuesday, September 19, 2006

..:: Hikmah Ramadhan ::..

Kertas kerja bertajuk “HIKMAH RAMADAN” ini telah dibentangkan di Muhammadiyah Welfare Home, Singapura pada 19 November 2000 bersempena bulan Ramadan al-Mubarak. Beribu kesyukuran penulis ucapkan ke hadrat Allah Azza wa-Jalla kerana dengan izinNya penulis mampu menyumbangkan kulliah dan diberi kepercayaan oleh pihak berkenaan menyampaikan kewajipan dakwah Islamiyah di Singapura.

Penulis berterima kasih juga kepada Presiden Persatuan Muhammadiyah Singapura Ustaz S. Hussain S. Yacob, kepada Pengarah Unit Pembangunan Sumber Persatuan Shaik Dawood Tahir, Ustaz Nor Ibrahim, Saudara Aron Rasikin dan kepada semua AJK yang menjayakan majlis ceramah yang mulia ini. Jazakumullahu khairan kathiran.

HIKMAH RAMADAN
Bulan Ramadan adalah bulan mulia yang dikenali sebagai bulan ibadah yang dipenuhi dengan kebaikan, hikmah dan barakah. Hal ini telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam:

قَدْ جَاءَ كُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌ مُبَارَكٌ.

"Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan, bulan keberkatan".[1]
Telah dimaklumi oleh sekalian muslim dan muslimah bahawa Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah memerintahkan kepada setiap orang-orang yang beriman agar berpuasa di bulan Ramadan. Terdapat banyak ayat-ayat muhkamat yang mewajibkan mereka berpuasa apabila tiba bulan Ramadan sebagaimana firman Allah:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِىْ اُنْزِلَ فِيْهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالفُرِقَانِ ، فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ.

"Pada bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan dari petunjuk, memperbezakan antara hak dengan yang batil maka sesiapa yang hadir di antara kamu di bulan itu hendaklah ia berpuasa".
Al-Baqarah, 2:185.
Puasa dibulan Ramadan merupakan perisai dari melakukan maksiat dan kejahatan, penyelamat dari siksaan api neraka dan pembuka jalan untuk ke syurga. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

مَنْ آمَنَا بِاللهِ وَبِرَسُوْلِهِ وَاَقَامَ الصَّلاَةِ وَصَامَ رَمَضَانَ كَانَ حَقًّا عَلَى اللهِ اَنْ يُدَخِّلَهُ الْجَنَّةَ.

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan RasulNya, mendirikan solat dan berpuasa di bulan Ramadan, maka adalah satu kebenaran atas Allah memasukkannya ke syurga".[2]
Terlalu banyak dalil-dalil dari al-Quran dan hadis-hadis sahih yang menerangkan tentang kebaikan, barakah dan pahala yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala kepada orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan kesedaran sebagaimana dijelaskan di beberapa hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

اَلصَّوْمُ جُنَّةٌ مِنْ عَذَابِ اللهِ.

"Puasa itu adalah perisai (penyelamat) dari azab Allah".[3]
Orang yang berpuasa dilarang dari berkata-kata yang kotor seperti mengumpat, menyakiti orang lain dengan perbuatan dan mulutnya serta tidak boleh memaki-hamun sembarangan. Tegahan ini terdapat dalam hadis Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

اَلصَّوْمُ جُنَّةٌ فَاِذَا كَانَ اَحَدُكُمْ يَوْمًا صَائِمًا فَلاَ يَرْفَثْ وَلاَ يَجْهَلْ فَاِنِ امْرُؤٌ شَتَمَهُ اَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ اِنِّيْ صَائِمٌ.

'Puasa itu perisai, apabila ada salah seorang kamu di suatu hari sedang berpuasa, maka janganlah berkata-kata keji (kotor), jangan berlaku jahil dan jika ada seseorang memakinya atau mahu membunuhnya maka katakanlah sesungguhnya aku sedang berpuasa".[4]
Kemuliaan orang yang berpuasa di sisi Allah berbeza dengan ibadah-ibadah yang lain, sehingga pahala orang yang berpuasa ditulis sendiri oleh Allah ‘Azza wa-Jalla:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ اِلاَّ الصَّوْمَ ، فَاِنَّهُ لِيْ وَاَنَا اَجْزِى بِهِ ولِخُلُوْفِ فَمِ الصَّائِمِ اَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيْحِ الْمِسْكِ.

"setiap amal kebaikan Bani Adam (ditulis oleh malaikat) pahlanya, kecuali orang yang berpuasa sesungguhnya ia adalah bagiKu dan Akulah yang memberinya pahala puasanya. Dan bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah dari bau kasturi".[5]
Bagi mereka yang berpuasa selain meninggalkan makan dan minumnya kemudian meninggalkan juga syahwat-serakahnya, maka Allah akan menganugerahkan kepadanya dua kegembiraan sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

يَقُوْلُ عَزَّ وَجَلَّ : اَلصَّوْمُ لِيْ وَاَنَا اَجْزِيْ بِهِ ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَاَكْلَهُ وَشُرْبَهُ مِنْ اَجْلِيْ ، وَالصَّوْمُ جُنَّةٌ ، وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ ، فَرْحَةٌ حِيْنَ يُفْطِرُ ، وَفَرْحَةٌ حِيْنَ يُلْقَى رَبَّهُ.

"Azza Wajalla berfirman: Puasa itu untuk Aku dan Akulah memberinya pahala. Ia meninggalkan syahwatnya, makanannya dan minumannya kerana Aku. Puasa itu perisai. Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya".[6]

كُلُّ حَسَـنَةٍ يَعْمَلُهَا ابْنُ آدَمَ فَلَهُ عَشْرُ اَمْثَالِهَا اِلاَّ الصِّيَامَ لِيْ وَاَنَا اَجْزِيْ بِهِ

"(Hadis Kudsi): Segala kebaikan yang dikerjakan oleh anak Adam baginya sepuluh kebaikan sepertinya, kecuali puasa, ia untukKu dan Aku sendirilah yang memberi ganjarannya" .[7]

اِنَّ لِلصَّائِمِ فَرْحَتَيْنِ ، اِذَا اَفْطَرَ ، وَاِذَا لَقِيَ اللهَ فَجَزَاهُ فَرِحَ.

"Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, (pertama kegembiraan) apabila berbuka dan (kedua kegembiraan) apabila menemui Allah. Maka Allah akan memberinya balasan maka itulah kegembiraan" [8]

وَمَنْ كَانَ مِنْ اَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصِّيَامِ

"Dan sesiapa yang tergolong orang yang berpuasa, ia akan dipanggil (ke syurga) melalui pintu puasa".[9]
Di samping menunaikan kewajipan puasa maka sesiapa yang menambah ibadahnya dengan amalan-amalan sunnah (tatawu’) seperti bertarawikh, bertadarus, berzikir (mengikut secara sunnah), bersedekah dan sebagainya untuk bertaqarrub kepada Allah dengan penuh keimanan, tunduk, khusyu', ikhlas, sabar dan meninggalkan dosa-dosa besar, maka diberikan kepadanya pengampunan serta pahala yang amat besar. Sebagaimana firman Allah:

اِنَّ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ وَالْقَانِتِيْنَ وَالْقَانِتَاتِ ، وَالصَّادِقِيْنَ وَالصَّادِقَاتِ ، وَالصَّابِرِيْنَ والصَّابِرَاتِ ، وَالْخَاشِعِيْنَ وَالْخَاشِعَاتِ ، وَالْمُتَصَدِّقِيْنَ وَالْمُتَصَدِّقَاتِ ، وَالصَائِمِيْنَ وَالصَّائِمَاتِ ، وَالْحَافِظِيْنَ فَرُوْجَهُمْ وَالْحَافِظَاتِ ، وَالذَّاكِرِيْنَ اللهَ كَثِيْرًاوَالذَّاكِرَاتِ اَعَدَّاللهُ لَهُمْ مَّغْفِرَةً وَاَجْرًاعَظِيْمًا

"Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap taat dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara farajnya (kehormatannya) , lelaki dan perempuan yang banyak mengingati Allah, Allah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar".[10]
Bagi orang yang berpuasa kemudian diiringi puasanya dengan memperbanyak amalan-amalan sunnah, maka selain diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan mendapat pahala yang besar, maka ia juga dimasukkan ke dalam golongan orang-orang siddiqin, syuhada dan solehin sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

عَنْ اَبِى هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُـوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ قَامَ رَمَضَانَ اِيْمَانًا وَاحْتِسَابَا غُفِرَ لَهُ مَاتَقَدَّمَ لَهُ مِنْ ذَنْبِهِ

"Dari Abi Hurairah radiallahu 'anhu berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Barangsiapa yang bangun (menghidupkan ibadah) dibulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan balasan yang baik), maka diampunkan dosanya yang telah lalu".[11]
Dan diriwayatkan dari Amr bin Murrah al-Juhani radiallahu 'anhu:
"Datang seorang lelaki kepada Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam lalu ia berkata: Ya Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang hak kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku berpuasa Ramadan dan solat tarawih di malam harinya, termasuk golongan manakah aku? Baginda menjawab: Termasuk golongan siddiqin dan syuhada".[12]
Perlu diketahui oleh setiap mukmin bahawa Allah memberkati bulan Ramadan kerana terdapat banyaknya kebaikan dan keutamaan di dalam bulan tersebut antaranya:

Keutamaan Pertama
Dibulan Ramadan terdapat malam Lailatul Qadar. Yang mana dikeranakan oleh malam tersebut maka ibadah seseorang mukmin lebih baik dari beribadah diseribu bulan yang lain atau lebih mulia dari beribadah sepanjang seribu bulan. Keutamaan bulan Ramadan juga ialah apabila Allah Subhanahu wa-Ta'ala memilih malam Lailatul Qadar diturunkan padanya al-Quran untuk membimbing manusia ke jalan hidayah dan kemuliaan.
Orang-orang beriman digalakkan agar berlumba-lumba bangun melakukan amal ibadah dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, kerana bulan ini adalah bulan yang paling mulia di sisi Allah. Keutamaannya sangat besar sebagaimana digambarkan dalam surah al-Qadar:

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ اَلْفِ شَهْرٍ.

"Malam Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan".[13]
Malam Lailatul Qadar dijelaskan oleh al-Quran sebagai malam yang di penuhi dengan berkat, rahmat dan fadhilat sebagaimana firman Allah:

اِنَّا اَنْزَلْنَاهُ فِى لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ اِنَّاكُنَّا مُنْذِرِيْنَ ، فِيْهَا يُفْرَقُ كُلُّ اَمْرٍ حَكِيْمٍ اَمْرًا مِنْ عِنْدِنَا اِنَّا كُنَّا مُرْسَـلِيْنَ ، رَحْمَةً مِّنْ رَّبِّكَ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ.

"Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran di malam Lailatul Qadar pada malam yang penuh berkat. Sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan (kepada manusia), pada malam (penuh berkat) itu ditetapkan (dijelaskan) semua perkara dari Kami. Kerana sesungguhnya Kami sentiasa mengutus para rasul, sebagai rahmat Allah Tuhan engkau. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". Ad-Dukhan, 44:3-6.
Bilakah Malam Lailatlul Qadar?
Dalam sebuah hadith, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah bersabda:

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِى الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ اْلاوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

"Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Pilihlah (carilah) malam Lailatul Qadar di (pada hari) ganjil dari sepuluh terakhir dari bulan Ramadan".[14]
Imam Syafie rahimahullah berkata:
"Menurut pemahamanku, wallahu a’lam, Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam setelah ditanya: Apakah kami mencarinya dimalam ini? Baginda menjawab: Carilah dimalam tersebut".[15]
Adapun yang dimaksudkan: "Carilah dimalam tersebut", ia telah diterangkan dari Ibnu Umar radiallahu 'anhuma beliau berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:
"Carilah (malam tersebut) pada sepuluh hari terakhir, jika tidak mampu janganlah tertinggal tujuh hari yang sisanya".[16]

Dari Aisyah radiallahu 'anha pula berkata:

“Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh hari terakhir yang tidak pernah dilakukannya di waktu yang lain".[17]

Aisyah radiallahu ‘anhu berkata lagi:

“Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam jika telah masuk sepuluh hari terakhir, baginda mengikat kuat kainnya, menghidupkan malamnya dan membangunkan isterinya".[18]

Keutamaan Kedua
Dikhususkan diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala pada malam bulan Ramadan agar turun para malaikat bersama malaikat Jibril ‘alaihis salam ke langit dunia. Firman Allah:

تَنَزَّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوْحُ فِيْهَا بِاِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ اَمْرٍ

"Pada malam (Lailatul Qadar) turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan".[19]
Ganjaran bagi orang-orang beriman yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan beramal soleh seperti membaca al-Quran, solat tarawikh, mengerjakan umrah dan sebagainya adalah pengampunan dosa-dosanya yang telah lalu. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ اِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.

"Bersabda Rasulullah sallallahu‘alaihi wa-sallam: Sesiapa yang bangun di malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan ihtisab, diampunkan dosanya yang telah lalu".[20]


Keutamaan Ketiga
Ganjaran pahala yang besar diberikan kepada sesiapa yang bertadarus (membaca dan mempelajari al-Quran) dibulan yang mulia ini, kerana mengikut contoh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam yang bertadarus dengan Jibril 'alaihis salam di Ramadan, sebagaimana juga amalan para sahabat dan para Salaf as-Soleh. Begitu juga al-Quran pula diturunkan dibulan yang penuh keberkatan ini sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:

شَهْرُرَمَضَانَ الَّذِىْ اُنْزِلَ فِيْهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ ، فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ.

"Bulan Ramadan itulah bulan di dalamnya diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia, menjadi keterangan-keterang an dari petunjuk itu sehingga membezakan antara yang hak dengan yang batil. Maka barangsiapa antara kamu melihat bulan itu hendaklah ia berpuasa".
Al-Baqarah, 2:185.

وَكَانَ يَلْقَاهُ فِى كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ يَتَدَارَسَهُ الْقَرْآنَ

"Yang mana baginda (Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam) bertemu Jibril pada setiap malam dari bulan Ramadan, baginda bertadarus al-Quran".[21]

Keutamaan Keempat
Segala jin-jin jahat dan syaitan dibelenggu dengan rantai, ini supaya tidak dapat bebas mengoda dan merosakkan ibadah puasa dan segala ibadah manusia yang beriman sebagaimana bebasnya di bulan-bulan yang lain. Pintu-pintu neraka ditutup dan pintu-pintu langit dan syurga dibuka kepada mereka yang berpuasa dengan penuh keimanan. Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ اَبْوَابُ الْجَنَّةِ ، وَغُلِّقَتْ اَبْوَابُ النَّارِ ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِيْنَ.

"Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Jika datang bulan Ramadan dibukalah pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggulah para syaitan".[22]

اِذَا دَخَلَ شَهْرُ رَمَضَانَ ، فُتِّحِتْ اَبْوَابَ السَّـمَاءِ ، وَغُلِّقَتْ اَبْوَابُ جَهَنَّمَ ن وَسُلْسِلَتِ الشِّيَاطِيْنَز

"Apabila masuk bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu langit, ditutup pintu jahanam dan dirantai para syaitan".[23]

"Jika telah datang awal malam bulan Ramadan diikatlah para syaitan dan jin-jin yang jahat, ditutup pintu-pintu neraka, tidak ada satu pintu pun yang dibuka dan dibukalah pintu-pintu syurga, tidak ada satu pintu pun yang tertutup, menyerulah seorang penyeru: Wahai orang yang ingin kebaikan lakukanlah! Wahai orang yang ingin keburukan kurangkanlah! Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan dari neraka, itu terjadi pada setiap malam".[24]
Maksud "dibebaskan dari neraka", ialah diberi pengampunan dibulan Ramadan bagi pelaku maksiat yang bakal ke neraka lantaran beribadah, bertaubat, beristigfar dan permohonan doanya kepada Allah yang dilakukan dengan penuh keimanan, kekhusyukan dan keikhlasan terutamanya dimalam Lailatul Qadar. Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:
"Allah memiliki para hamba yang dibebaskan dari neraka setiap siang dan malam Ramadan, dan setiap muslim yang berdoa akan dikabulkan doanya".[25]

Baginda bersabda lagi: "Barangsiapa yang mencarinya (Lailatul Qadar), carilah pada tujuh hari terakhir" [26]

Keutamaan Kelima
Dibuka luas pintu-pintu rahmah (untuk menperolehi pahala yang berganda) dan doa yang dipohon dengan penuh keikhlasan dikabulkan. Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah bersabda:

اِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ اَبْوَابُ الرَّحْمَةِ

"Apabila tiba bulan Ramadan, maka dibuka pintu-pintu rahmah".[27]
Di samping mengerjakan ibadah-ibadah tatawwu' (sunnah) seperti bertadarus (membaca) al-Quran agar dengannya membersihkan jiwa dan menghancurkan syahwat, maka Nabi Muhammad menganjurkan agar memperbanyakkan doa.
"Diriwayatkan dari Aisyah radiallahu 'anha beliau berkata: Ya Rasulullah! Apa pendapatmu jika kau tahu bila malam Lailatul Qadar, apa yang aku ucapkan? Baginda bersabda: Ucapkanlah (doa):

اَللَّهُمَّ اِنَّكَ عَفُوٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّيْ

Bermaksud: "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Mencintai orang yang meminta ampun, maka ampunilah aku".[28]

Keutamaan Keenam
Bulan Ramadan adalah bulan pengampunan dosa lantaran keutamaan dan tingginya kedudukan ibadah puasa di sisi Allah ‘Azza wa-Jalla. Seandainya seseorang yang berpuasa mempunyai dosa seperti buih di lautan, nescaya akan diampunkan apabila meminta pengampunan dengan sebab ibadah puasanya yang diberkahi. Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ اِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.

"Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh iman dan ihtisab, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu".[29]
Itulah janji Allah kepada mereka yang beriman dan mengerjakan ibadah puasa dibulan Ramadan dengan penuh keikhlasan dan kesabaran.

اَلصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ اِلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَانُ اِلَى رَمَضَانِ فَكَفَّرَاتٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ مَااجْتُنِبَتِ الْكَبَائِرِ.

"Solat yang lima, Jumaat keJumaat, Ramadan keRamadan adalah penghapus dosa yang terjadi di antara waktu tersebut jika menjauhi dosa-dosa besar".[30]
Setiap mukmin sewajarnya mengambil kesempatan ini disetiap tibanya bulan Ramadan dengan banyak mengerjakan amal ibadah dengan penuh tawadduk, khusyuk dan penuh keikhlasan.

Keutamaan Ketujuh
Dibulan Ramadan, segala amal ibadah yang dikerjakan dengan penuh keimanan, keikhlasan, khusyuk dan tawadduk jika tidak diselang-seli dengan dosa-dosa besar, bid'ah dan khurafat, maka pahalanya akan digandakan. Oleh itu digalakkan agar menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan memperbanyak beramal ibadah dan berdoa. Segala doa akan dimakbulkan sehingga Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sendiri melipat-gandakan ibadah dan doanya disetiap bulan Ramadan:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ اَجْوَدُ مَا يَكُوْنُ فِى رَمضَانَ حِيْنَ يَلْقَاهُ جِبْرِيْلَ فِىكُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ يُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ

"Dari Ibn Abbas radiallahu ‘anhuma berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah manusia yang paling pemurah, maka dia akan lebih pemurah dibulan Ramadan, dimana baginda ditemui oleh Jibril pada setiap malam Ramadan mengajarkan baginda al-Quran"[31]
Tanda hikmah, kemuliaan dan berlipat gandanya pahala setiap ibadah dibulan Ramadan itu banyak, antaranya diwajibkan zakat fitrah, disunnahkan banyak bersedekah (infaq), digalakkan beriktikaf di masjid dan pahala umrah bagi yang mampu mengerjakannya dinilai sama seperti mengerjakan haji berserta Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam. Sebagaimana sabda baginda:

وَاِذَا صَلَّى الْفَدَاةَ دَخَلَ مَكَانَهُ الَّذِيْ اِعْتَكَفَ فِيْهِ

"Setelah selesai sembahyang subuh, baginda masuk ke tempat kebiasaan baginda beriktikaf di bulan Ramadan".[32]

يَعْتَكِفْ فِى كُلِّ رَمَضَانَ عَشْرَةَ اَيَّامٍ فَلَمَّا كَانَ الْعَامُ الَّذِيْ قُبِضَ فِيْهِ اِعْتَكَفَ عِشْرِيْنَ يَوْمًا

"Pada setiap bulan Ramadan baginda beriktikaf disepuluh (terakhir) dan setelah tahun kewafatannya baginda beriktikaf didua puluh hari (yang terakhir)".[33]
Antara tanda kemuliaan dan berkahnya amal ibadah dibulan Ramadan dapat difahami dari hadith yang menjelaskan pahala yang besar yang diberikan kepada mereka yang mengerjakan umrah dibulan tersebut:

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِنَّ عُمْرَةً فِى رَمَضَانَ تَقْضِى حَجَّةٌ اَوْ حَجَّةً مَعِيْ

"Sesungguhnya mengerjakan umrah di bulan Ramadan sama seperti mengerjakan satu haji atau mengerjakan haji bersamaku".[34]

Puasa Orang Munafik
Di dalam hadis riwayat Muslim rahimahullah terdapat sepotong hadis yang menceritakan perihal ibadah orang munafik termasuklah ibadah puasa:

اَيَاتُ الْمُنَافِقِ ثَلاَثٌ : اِذَا حَدَّثَ كَذَبَ ، وَاِذَا وَعَدَ اَخْلَفَ ، وَاِذَا ائْتُمِنَ خَانَ ،وَاِنْ صَامَ وَصَلَّى وَزَعَمَ اَنَّهُ مُسْلِمٌ.

"Tanda-tanda munafik tiga: Apabila berkata dia bohong, apabila berjanji dia mungkir dan apabila diberi amanah dia berkhianat, sekalipun dia berpuasa, bersolat dan menyangka dirinya muslim".[35]
Antara contoh puasa orang Munafik ialah apabila seseorang yang berpura-pura berpuasa di hadapan orang lain sedangkan hakikatnya dia tidak berpuasa (berbohong) lantaran malu jika diketahui orang dia tidak berpuasa, atau terpaksa berpuasa lantaran ia duduk bersama orang yang berpuasa kerana terasa malu jika tidak berpuasa, atau beralasan sakit sehingga tidak mahu berpuasa sedangkan yang sebenarnya dia adalah seorang yang berkeadaan sihat wal-afiat. Maka orang-orang seperti ini tergolong dalam golongan orang yang nifaq walaupun dia masih merasa dirinya seorang muslim. Kerana orang seperti ini akan senang bersama orang yang tidak berpuasa, sama ada orang yang tidak berpuasa itu masih mengaku muslim atau orang kafir.
Oleh itu, hindarilah sifat-sifat nifak ini agar Allah Subhanahu wa-Ta’ala menerima dan memberkati segala ibadah kita termasuklah ibadah puasa. Lakukanlah segala ibadah yang wajib atau yang sunnah semata-mata kerana Allah, kerana demikianlah perintah dari Allah Azza wa-Jalla sebagaimana firmanNya:

وَمَا اُمِرُوْا اِلاَّ لِيَعْبُدُوْا اللهَ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ حُنَفَآءَ

"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan (ikhlas) kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus". Al-Bayyinah, 98:5.
Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ اِيْمَانً وَاحْتِسَابًا وَنِيَّةً وَقَالتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : يُبْعَثُوْنَ عَلَى نِيَّتِهِمْ

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan (berpuasalah dengan) penuh keimanan, ihtisab dan niat. Berkata Aisyah radiallahu 'anha: Nabi sallallahu 'alahi wa-sallam bersabda: Mereka (yang berpuasa) akan dibangkitkan (di Hari Kiamat) menurut niat mereka".[36]

[1]. H/R Ahmad (9133)
[2]. H/R Bukhari (3581) al-Jihad.
[3]. H/R Ahmad (17233).
[4]. H/R Ahmad. (7714).
[5]. H/R Bukhari (547) al-Libas.
[6]. H/R Bukhari (6938) at-Tauhid.
[7]. H/R an-Nasai(2189) as-Siam.
[8]. H/R Ahmad (6877).
[9]. H/R Bukhari (3393). al-Munaqib.
[10]. Al-Ahzab, 33:35.
[11]. H/R Bukhari (36) al-Iman.
[12]. H/R Ibnu Hibban No. 11. Lihat Zawaid. Sanadnya sahih.
[13]. Surah al-Qadar, 97:3.
[14]. H/R Bukhari (1878) Solat at-Tarawikh.
[15]. Lihat: Syarhus Sunnah, 6/388.
[16]. H/R Bukhari (3/221). Muslim (1165).
[17]. H/R Bukhari (4/233). Muslim (1174).
[18]. H/R Muslim.
[19]. Al-Qadar, 97:4.
[20]. H/R Bukhari (1875) Solat at-Tarawikh.
[21]. H/R Bukhari (5) Badul Wahyu.
[22]. H/R Bukhari (4/97). Muslim (1079).
[23]. H/R Bukhari (1766). as-Saum.
[24]. H/R Tirmizi (682). Ibn Majah (1642). Ibnu Khuzaimah (3/188). Hadis Hasan.
[25]. H/R Bazzar (3142). Ahmad (2/254). Ibn Majah (1643). Hadis sahih.
[26]. Ibid.
[27]. H/R Muslim (1794). as-Siam.
[28]. H/R Tirmizi (3706) Ibn Majah (3850) sanadnya sahih. Lihat Syarah Bughyatul Insan fi Wadhaifi Ramadan. Hlm. 55-57. Ibn Rejab al-Hambali.
[29]. H/R Bukhari (4/99). Muslim (759).
[30]. H/R Muslim (233).
[31]. H/R Bukhari No 5. Badul Wahyu.
[32]. H/R Bukhari (1900) al-Iktikaf.
[33]. H/R Bukhari (1903). al-Iktikaf.
[34]. H/R Bukhari (1730) al-Haj.
[35]. H/R Muslim No. 90. al-Iman.
[36]. H/R Bukhari. as-Saum.

Hak cipta terpelihara @ Ibnunaem 2002

Tips, educate child, teenagers, adults in daily lifestyles.



My blog is worth $0.00.
How much is your blog worth?


HACKER SAFE certified sites prevent over 99.9% of hacker crime.
 
..:: LARANGAN BERSEMBAHYANG DALAM KEADAAN MABUK DAN JUNUB ::..
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) kecuali kamu hendak melintas sahaja hingga kamu mandi bersuci dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun."[Maksud Firman Allah Taala Surah An-Nisa' :43]